KUCHING: Kepemimpinan dalam sektor awam dan swasta mesti menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu bagi memastikan kepercayaan rakyat dapat dipulihkan dan dijaga serta menghindari rasuah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat dan rakyat sedang memerhati dengan penuh tekun.
Oleh itu katanya, perbuatan rasuah memberi ancaman besar kepada kemajuan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau menyifatkan rasuah sebagai salah satu cabang perilaku yang tidak berintegriti dan berpunca daripada nafsu melampau manusia yang tidak dikawal dengan baik.
”Masa depan negara kita bergantung kepada sejauh mana kita mampu membanteras rasuah secara berkesan.
”Seperti penyakit barah yang merosakkan tubuh badan secara senyap, rasuah merebak dalam sistem dan mencengkam masa depan rakyat Malaysia.
”Demi memenuhi kepentingan segelintir individu yang rakus, rasuah merosakkan integriti negara, meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan mewujudkan ketidakadilan sosial yang memudaratkan ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti (MAP-i) 2024 di Dewan Kompleks Islam Kuching, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata dalam usaha menentang rasuah, kerajaan berpandukan Konsep MADANI yang berlandaskan nilai-nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat-menghormati, keyakinan dan ihsan.
Jelasnya, nilai-nilai tersebut menjadi panduan utama dalam memacu kerajaan ke arah pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan beretika bagi memastikan ketirisan dan pembaziran dapat dielakkan.
”Persekitaran sifar toleransi terhadap rasuah mesti diwujudkan dan diperkasakan, dan tiada kompromi dalam pelaksanaannya,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA