

DALAM perjalanan hidup ini, manusia sering diuji dengan kejayaan, ilmu dan kekayaan. Namun, sekuat mana pun kita berdiri, sebesar mana pun nama kita dikenali, asas sebenar yang perlu dipegang ialah kerendahan hati.
Peribahasa Melayu “ikutlah rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk” menjadi kunci penting dalam membentuk diri.
Padi yang semakin masak tidak akan meninggi tetapi semakin tunduk menyentuh bumi. Begitulah seharusnya insan.
Semakin tinggi ilmu, semakin luas pengalaman, semakin besar kedudukan, sewajarnya semakin kuatlah rasa rendah diri terhadap sesama manusia dan lebih-lebih lagi terhadap Allah Yang Maha Pencipta.
Artikel ini cuba menyingkap falsafah rasmi padi melalui akronim RASMI PADI, sebagai panduan asas untuk mengemudi hidup.
Ia juga bertujuan agar kita bukan sahaja menjadi manusia berilmu, tetapi juga pencetus kesejahteraan di dunia ini dengan memiliki rendah hati.
R – RENDAH Hati
Rendah hati bukan bererti lemah atau mengalah tanpa sebab, tetapi ia adalah kekuatan sebenar seorang insan.
Orang yang rendah hati mudah diterima dalam masyarakat, disenangi oleh rakan, dihormati oleh lawan. Islam mengajarkan bahawa sombong dan riak adalah penyakit hati yang merosakkan.
Nabi SAW pernah bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya sebesar zarah sifat sombong.” (Riwayat Muslim).
Maka, semakin tinggi kedudukan kita, semakin wajar kita tunduk dan bukan meninggi diri. Kita kenal kejayaan dan ketinggian darjat kita adalah hasil daripada ilmu yang kita miliki digunakan sebagai amanah untuk manfaat semua.
A – AMANAH Ilmu
Ilmu adalah anugerah. Orang yang berilmu perlu menggunakannya dengan amanah. Dunia hari ini sedang dilanda ledakan maklumat dan kepakaran.
Dalam keadaan ini, siapa yang berilmu wajib berkongsi, membantu dan menolong yang kurang tahu.
Ilmu yang disimpan untuk diri sendiri atau yang tidak dikongsikan kerana ego hanya akan melahirkan jurang dan kebencian.
Tetapi ilmu yang dipersembahkan dengan rendah diri dan dipanjangkan sesama insan akan melahirkan kesatuan dan kasih sayang.
Inilah tanda orang yang berilmu tepat berkongsi pada tempatnya dan sederhana pembawaannya dalam segala hal.
S – SEDERHANA Dalam Segala Hal
Orang yang mengikut rasmi padi tidak berlebihan dalam gaya, perkataan atau perbuatan. Kesederhanaan adalah kunci pembawaan diri sehingga membentuk kestabilan dalam kehidupannya.
Sikap sederhana membuatkan orang mudah mendekati kita. Kita boleh bekerja dalam pasukan, boleh menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan dan mampu memimpin tanpa menekan orang lain. Kita sebagai peneraju dan pembawa obor ke arah kebaikan untuk semua.
M – MEMBAWA Kebaikan
Rasmi padi juga mengajar kita supaya keberadaan kita memberi manfaat. Bila kita melangkah ke mana-mana, orang suka, bukan benci.
Majoriti manusia akan lebih menyokong dan menyenangi orang yang rajin menolong orang lain dan tetap rendah hati.
Mereka menjadi magnet kasih sayang, bukan sumber perpecahan. Apatah lagi setiap usahanya dibaluti dengan setinggi keikhlasan.
I – IKHLAS Dalam Segala Urusan
Tanpa keikhlasan, segala amalan menjadi kosong. Sifat ikhlas menjadikan rendah diri itu benar-benar lahir dari hati, bukan sekadar berpura-pura.
Ikhlas juga membuatkan kita bekerja tanpa mengharap pujian manusia. Kita hanya mencari reda Allah.
Inilah sifat yang menjadikan seseorang itu kuat walaupun tidak dipuji, tetap teguh walau tidak disanjung.
Bukan setakat itu, kita menjadi contoh yang mengajak orang lain untuk turut menyemai sikap berkorban untuk manfaat semua.
P – PENGORBANAN
Orang yang benar-benar berjiwa rasmi padi sanggup berkorban untuk kesejahteraan bersama.
Mereka tidak berkira dalam membantu, mereka tahu keberkatan datang daripada memberi.
Dalam dunia hari ini yang sarat dengan persaingan, orang yang sanggup berkorban untuk orang lain akan sentiasa dihormati dan dikenang.
Orang ikhlas berkorban akan menjadi orang yang melahir akar budi yang sentiasa menjadi rujukan dan harapan insan lain yang memerlukan bantuan.
A – AKAR Budi
Setinggi mana pun pohon menjulang, ia tetap berdiri kerana akar di bumi.
Begitu juga kita, setinggi mana pun pencapaian, jangan lupa akar budi iaitu asal usul, keluarga dan nilai yang membesarkan kita.
Orang yang berpegang pada akar budi tidak akan hanyut dengan pujian, tidak akan sombong dengan pangkat kerana mereka tahu dari mana mereka datang.
Dengan tersemai nya sikap mengenal akar budi atau punca asal kita, kehadiran kita dalam masyarakat akan sentiasa melahir kedamaian serta kesejahteraan kepada semua.
D – DAMAI Membawa Sejahtera
Sifat rendah hati melahirkan keamanan. Tiada perselisihan, tiada dengki, tiada pertelingkahan yang sia-sia. Dunia ini akan lebih aman jika manusia menundukkan ego masing-masing.
Damai bukan sekadar tidak berperang, tetapi juga sejahtera dalam hati iaitu tidak ada dendam, tidak ada iri hati. Inilah buah hasil rasmi padi dalam kehidupan. Kita turut menjadi inspirasi untuk orang lain.
I – INSPIRASI Untuk Orang Lain
Akhirnya, orang yang benar-benar mengikut rasmi padi akan menjadi sumber inspirasi. Kehadiran mereka mengingatkan kita bahawa kejayaan dan kemuliaan bukan pada bermegah, tetapi pada kesediaan menunduk diri dengan rendah hati.
Mereka bukan sahaja disukai, malah didoakan. Nama mereka harum kerana menjadi pembawa kesejahteraan, bukan pembawa kebencian.
Pada sudut pandang lain, dapatlah kita melihat hidup ini ibarat sawah yang luas. Ada ketika musim hujan, ada ketika musim kemarau.
Namun, padi tetap tumbuh dan mendidik kita dengan falsafah kehidupan. Jika padi semakin berisi semakin tunduk, maka kita sebagai manusia semakin tinggi ilmu, semakin luas pengalaman, semakin banyak pencapaian maka kita hendaklah semakin rendah hati.
Marilah kita sama-sama berpegang teguh kepada prinsip RASMI PADI, yang membimbing kita dengan nilai kehidupan sejati.
Ia mengajar kita untuk sentiasa rendah hati walau setinggi mana kedudukan, menuntut ilmu dengan amanah, hidup sederhana, membawa kebaikan kepada orang lain, ikhlas dalam setiap amal, sanggup berkorban demi kebenaran, berakar pada budi yang luhur, menebar rasa damai serta menjadi inspirasi yang menyuburkan kehidupan bersama.
Dengan prinsip ini, insya-Allah hidup kita akan lebih tenang, dunia lebih aman, dan hubungan sesama manusia lebih sejahtera.
Wallahu alam Bissawab