
BARU-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap gesaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun atau dua penggal.
Namun beliau menegaskan perlunya berunding dengan parti-parti lain, tidak dibuat secara tergesa-gesa dan mendapat sokongan majoriti besar di Parlimen sebelum dilaksanakan.
Negara jiran terdekat yang mengehadkan tempoh dua penggal untuk jawatan Perdana Menteri atau Presiden mereka ialah negara Indonesia.
Sejak reformasi di Indonesia, telah diperkenalkan bahawa presiden tidak boleh memegang jawatan lebih dua penggal.

Sebelum itu, Presiden Suharto menjadi Presiden Indonesia selama 30 tahun 55 hari dan menjadi kritikan rakyat hingga membawa kepada reformasi di Indonesia.
Selepas itu, B.J Habibie, Abdul Rahman Wahid, dan Megawati memerintah tidak sampai 1- 3 tahun.
Kematangan politik Indonesia terserlah ketika Susilo Bambang Yudhono dan Joko Widodo (Jokowi), menjadi Presiden Indonesia selama dua penggal. Kini Prabowo Subianto menjalani penggal pertama sebagaiPresiden Indonesia.

Pengalaman Amerika Syarikat
Apabila keputusan George Washington, iaitu Presiden pertama Amerika Syarikat yang secara sukarela meletakkan jawatan selepas dua penggal, kerana tempoh ini dianggap beliau sudah memadai dan ini telah menetapkan tradisi tidak rasmi untuk presiden masa depan berkhidmat tidak lebih daripada dua penggal.
Namun Franklin D. Roosevelt Presiden ke-32 Amerika Syarikat telah dipilih pada 1932 bagi menangani kemelesetan besar negara Amerika, beliau berkhidmat selama dua penggal penuh, namun beliau bertanding lagi untuk Pilihan Raya Presiden 1940 dan dipilih semula pada 1944 dan berkhidmat sebagai presiden sehingga kematiannya pada April 1945.

Bermakna beliau menjadi presiden selama hampir 13 tahun.
Maka kebimbangan penggunaan kuasa eksekutif memang wajar dalam keadaan dunia pada 1930-an dan 1940-an yang berlaku masalah ekonomi dunia dan perang dunia, namun dibimbangi akan disalahgunakan pada masa akan datang.
Maka, selepas kematian Roosevelt dan kenaikan Harry S. Truman ke jawatan presiden maka dicadangkan had dua penggal untuk semua presiden masa depan.
Rasional
Pengehadan tempoh penggal bagi jawatan Perdana Menteri atau pemimpin negara mempunyai banyak kebaikan yang dapat menyumbang kepada kestabilan politik, kesihatan demokrasi, dan kecekapan pentadbiran.

Elak terlalu lama
Had dua penggal dapat mengelakkan seseorang Perdana Menteri daripada memegang kuasa terlalu lama.
Tanpa had penggal, terdapat risiko bahawa pemimpin tersebut boleh menjadi terlalu berkuasa, sehingga mencipta budaya autokratik atau kronisme.
Perkara ini boleh mengakibatkan pengabaian prinsip demokrasi dan semak serta imbang, apabila kuasa tertumpu pada individu atau kelompok tertentu sahaja.
Dengan had penggal, kuasa dapat diagihkan secara lebih adil, mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa.

Menyuburkan demokrasi
Pengehadan penggal membuka ruang kepada lebih ramai pelapis kepimpinan muda atau baharu untuk naik ke tampuk pemerintahan dan ini membolehkan idea-idea segar dan pendekatan inovatif diperkenalkan dalam pentadbiran negara.
Pemimpin baharu juga membawa perspektif berbeza, yang boleh membantu menangani isu-isu semasa dengan lebih efektif.
Selain itu, ia menggalakkan persaingan sihat dalam politik, yang merupakan asas penting dalam sistem demokrasi.
Fokus kepada prestasi
Dengan had masa yang jelas, Perdana Menteri akan lebih terdorong untuk melaksanakan dasar-dasar yang efektif dalam tempoh terhad.
Mereka akan lebih fokus untuk mencapai matlamat jangka pendek dan panjang yang bermanfaat untuk rakyat, berbanding menghabiskan masa untuk mengekalkan kedudukan politik mereka.
Maka, ini dapat meningkatkan kecekapan pentadbiran dan memastikan kepentingan rakyat diutamakan.
Elak politik wang, politik naungan
Pengehadan penggal juga dapat mengurangkan amalan politik wang dan politik naungan.
Apabila seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama, mereka berpotensi untuk memonopoli sumber dan pengaruh dalam parti atau kerajaan.
Gejala ini mencetuskan budaya rasuah, kronisme, atau amalan politik tidak sihat yang merosakkan integriti sistem politik.
Dengan had penggal, kuasa dan sumber dapat diagihkan secara lebih adil, mengurangkan risiko penyalahgunaan.
Amalan antarabangsa
Banyak negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, dan Korea Selatan ( satu penggal sahaja) telah mengamalkan had penggal bagi jawatan pemimpin mereka.
Amalan ini selaras dengan prinsip demokrasi moden yang menekankan pentingnya semak dan imbang dalam sistem pemerintahan.
Dengan mengikuti amalan antarabangsa, negara dapat memastikan sistem politiknya lebih telus, stabil, dan dihormati di peringkat global.
Secara keseluruhan, pengehadan tempoh penggal bukan sahaja mengukuhkan sistem demokrasi tetapi juga memastikan kepimpinan negara sentiasa segar, dinamik, dan berorientasikan prestasi.
Juga adalah langkah penting untuk mengelakkan penyalahgunaankuasa dan memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.
Kelemahan pengehadan tempoh penggal
Walaupun pengehadan tempoh penggal mempunyai banyak kebaikan, ia juga mempunyai beberapa kelemahan yang perlu dipertimbangkan.
Kelemahan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan politik, kepimpinan negara, dan hak demokrasi rakyat.
Menyekat kepimpinan berwibawa
Jika Perdana Menteri yang cemerlang dan diterima ramai oleh rakyat hanya dihadkan kepada dua penggal, negara mungkin kehilangan peluang untuk terus dipimpin oleh tokoh berpengalaman, terutamanya dalam waktu-waktu kritikal seperti krisis ekonomi, bencana, atau ancaman keselamatan.
Pemimpin yang telah membuktikan keupayaan mereka mungkin terpaksa meletakkan jawatan walaupun masih diperlukan untuk memimpin negara.
Aspek ini boleh mengakibatkan ketidakstabilan atau kehilangan momentum dalam pentadbiran.
Ketidakstabilan dalaman parti
Had penggal boleh mencetuskan perebutan kuasa awal dalam parti pemerintah.
Bakal pengganti akan mula berkempen atau membina pengaruh mereka lebih awal sebelum penggal pemimpin sedia ada tamat dan ini menyebabkan perpecahan dalam parti, persaingan tidak sihat, dan ketidakstabilan politik.
Selain itu, fokus parti mungkin beralih kepada perebutan kuasa dalaman berbanding melaksanakan agenda pembangunan negara.
Mandat rakyat
Dalam sistem demokrasi, mandat sebenar datang daripada rakyat.
Dengan mengehadkan penggal, rakyat mungkin kehilangan hak untuk terus memilih seseorang pemimpin yang mereka yakini layak untuk terus memimpin.
Situasi ini boleh dianggap sebagai sekatan terhadap hak demokrasi rakyat untuk menentukan pemimpin mereka sendiri.
Jika rakyat berpuas hati dengan kepimpinan seseorang, mereka sepatutnya mempunyai kebebasan untuk memilihnya semula tanpa sekatan penggal.
Tiada jaminan tatakelola
Pengehadan penggal tidak semestinya menjadi penyelesaian kepada isu penyalahgunaan kuasa atau rasuah.
Terdapat negara yang walaupun mengehadkan penggal, masih menghadapi masalah rasuah dan salah guna kuasa.
Isu integriti dan tadbir urus yang baik tidak semata-mata bergantung kepada tempoh seseorang memegang jawatan, tetapi lebih kepada sistem semak dan imbang, ketelusan, dan budaya politik yang sihat.
Tanpa reformasi dalam aspek-aspek ini, pengehadan penggal mungkin tidak mencapai matlamat yang diharapkan.
Budaya politik belum matang
Sesetengah pihak berhujah bahawa Malaysia masih dalam proses mematangkan budaya politiknya.
Pengenalan had penggal terlalu awal mungkin tidak memberi kesan yang diharapkan jika sistem politik dan institusi negara belum cukup kukuh untuk menyokong perubahan tersebut.
Dalam keadaan budaya politik masih berkembang, pengehadan penggal boleh menyebabkan ketidakstabilan atau kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pemimpin.
Negara mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk membina asas demokrasi yang kukuh sebelum melaksanakan had penggal.
Secara keseluruhan, pengehadan tempoh penggal bukanlah satu penyelesaian yang sempurna. Ia mempunyai kelemahan yang perlu diambil kira, terutamanya dalam konteks negara yang masih membangun dari segi budaya politik dan sistem demokrasi.
Sebarang keputusan untuk melaksanakan had penggal haruslah berdasarkan kajian mendalam dan pertimbangan yang teliti terhadap keadaan semasa negara.
• Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasidan Pilihan Raya UniversitiMalaya (UMCEDEL).