
Rashford akui rasa seperti di rumah sendiri bersama Barca. - Foto AFP
BARCELONA: Marcus Rashford mengakui kehadirannya di Barcelona sudah “terasa seperti di rumah sendiri” selepas kelab juara La Liga itu meminjam penyerang England itu dari Manchester United semalam dengan pilihan pembelian tetap pada masa depan.
“Barcelona dan Manchester United mencapai persetujuan bagi peminjaman Marcus Rashford sehingga 30 Jun 2026.
“Perjanjian itu turut menetapkan klausa pembelian tetap terhadap penyerang England berkenaan,” kata kenyataan rasmi Barca.
Menurut laporan media Sepanyol, Barcelona akan membayar kira-kira 75 peratus daripada gaji mingguan Rashford sebanyak £325,000 (RM2.03 juta), manakala selebihnya ditangguhkan oleh pemain berusia 27 tahun itu sendiri.
Rashford sebelum ini tidak mendapat kepercayaan di bawah kendalian jurulatih United, Ruben Amorim, dan menamatkan baki musim 2024/25 secara pinjaman bersama Aston Villa.
“Saya rasa keputusan ini cukup mudah. Ini kelab yang berteraskan keluarga, sesuatu yang saya biasa sejak kecil.
“Ia terasa seperti di rumah, jadi saya percaya saya telah buat pilihan tepat.
“Saya sangat teruja untuk memulakan aksi pertama… ini detik istimewa buat saya,” katanya kepada wartawan.
Rashford, yang melakukan debut bersama United pada 2015, mula dipinggirkan di Old Trafford selepas Amorim secara terbuka mempersoalkan komitmen dan semangatnya di atas padang.
Namun begitu, Rashford menegaskan dia tidak menyimpan sebarang rasa kurang senang terhadap kelab lamanya itu.
“Situasi di United ialah kelab itu sedang melalui fasa perubahan, dan sudah agak lama begitu. Saya tiada apa yang buruk untuk diperkatakan mengenai Manchester United.
“Kelab itu satu bahagian penting dalam karier saya dan juga kehidupan saya. Saya bersyukur diberi peluang bermain untuk mereka. Bola sepak ini macam kehidupan juga, tak semuanya berjalan seperti yang kita rancangkan.”
“Inilah langkah seterusnya buat saya, bab baharu. Saya akan beri tumpuan sepenuhnya untuk memperbaiki diri dan bantu pasukan capai kejuaraan,” katanya.
Rashford akan menyarung jersi nombor 14 di Barcelona, nombor keramat yang pernah dipakai Thierry Henry dan beberapa legenda lain. – AFP