
Reaksi pemain Barcelona dan Vissel Kobe dalam perlawanan persahabatan pra musim di Kobe, Jepun. Foto: AFP
KOBE: Marcus Rashford membuat penampilan sulungnya bersama Barcelona yang menyaksikan pasukan mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab Liga Jepun, Vissel Kobe dalam satu perlawanan pra musim, semalam.
Rashford yang menyertai juara Sepanyol secara pinjaman dari Manchester United diturunkan selaku pemain gantian pada babak kedua perlawanan.
Barcelona pada mulanya membatalkan perlawanan pada hari Rabu dengan memetik ‘pelanggaran kontrak yang serius bagi pihak promoter’ yang tidak dinyatakan.
Namun perlawanan persahabatan itu tetap diteruskan dan Eric Garcia membuka tirai jaringan pada babak pertama buat pelawat sebelum Taisei Miyashiro menyamakan kedudukan.
Pengendali Barcelona, Hansi Flick melakukan pertukaran pemain pada babak pertama dengan jaringan pemain baharu mereka, Roony Bardghji memastikan pasukan kembali mendahului perlawanan pada minit ke-77.
Pedro Fernandez menambah jaringan ketiga pasukan pada minit ke-87.
Menurut laporan media Sepanyol, Barcelona membayar sekitar 75 peratus daripada gaji Rashford yang bernilai £325,000 (RM2 juta) seminggu, manakala selebihnya ditanggung sendiri oleh pemain itu.
Rashford yang tidak lagi menjadi pilihan utama pengendali United, Ruben Amorim, sebelum ini dipinjamkan ke Aston Villa pada penghujung musim 2024/25. – AFP