Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Rasa Fest Bintulu angkat warisan seni budaya Sarawak
  • Utara
  • WILAYAH

Rasa Fest Bintulu angkat warisan seni budaya Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
POSTER rasmi Rasa Fest Bintulu 2026

BINTULU: Persembahan Mak Gendang oleh Dayang Azura dan Dayang Mastura menjadi tarikan yang memeriahkan malam kedua Rasa Fest Bintulu 2026 semalam, sekali gus memperkenalkan warisan seni budaya Sarawak kepada pengunjung serta peniaga dari luar negeri yang menghadiri festival tersebut.

Rasa Fest merupakan festival jelajah yang diadakan di seluruh Sarawak dengan menghimpunkan pelbagai peniaga makanan dan minuman dari Sabah, Sarawak serta Semenanjung Malaysia, selain menawarkan pelbagai aktiviti hiburan kepada masyarakat setempat.

Menurut penganjur, Hasbollah Bujang, Rasa Fest telah dianjurkan sebanyak tujuh kali bermula di Bintulu sebelum diteruskan ke Sibu, Kuching dan beberapa lokasi lain.

Katanya, penganjuran kali ini merupakan edisi ketiga di Bintulu selepas menerima sambutan serta permintaan berterusan daripada masyarakat setempat.

“Rasa Fest ini sudah tujuh kali kami anjurkan. Pada awalnya kami mulakan di Bintulu, kemudian ke Sibu, Kuching dan beberapa lokasi lain. Namun, banyak permintaan daripada masyarakat Bintulu supaya kami kembali ke sini. Jadi, ini merupakan kali ketiga Rasa Fest dianjurkan di Bintulu hasil sokongan orang ramai,” katanya ketika ditemui di tapak festival.

Beliau berkata, pihak penganjur sentiasa berusaha memenuhi kehendak pengunjung selagi bersesuaian dengan konsep acara.

“Kami menerima banyak permintaan daripada masyarakat Bintulu yang mahu melihat persembahan Mak Gendang. Sebab itu kami membawakan Dayang Azura dan Dayang Mastura, yang sememangnya terkenal dengan persembahan gendang, untuk memeriahkan Rasa Fest kali ini.

“Jika ada permintaan daripada masyarakat setempat dan ia bersesuaian dengan konsep acara, kami akan cuba sedaya upaya merealisasikannya,” katanya.

Hasbollah berkata, penyertaan vendor pada edisi kali ini turut menunjukkan sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran peniaga dari pelbagai negeri.

Menurutnya, tiga hingga empat vendor baharu dari Semenanjung Malaysia serta lebih 10 vendor dari Sabah menyertai festival kali ini, manakala selebihnya merupakan peniaga dari Sarawak.

HASBOLLAH Bujang bersama penaja festival, Hung Yik soon dari HH Event Rental Equipment Bintulu ketika ditemui di tapak Festival Rasa Fest, semalam.

“Penyertaan vendor dari pelbagai negeri menunjukkan Rasa Fest semakin dikenali dan menjadi platform pilihan usahawan makanan untuk memperkenalkan produk mereka di luar kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, Rasa Fest bukan sekadar platform menjual makanan dan produk usahawan tempatan, malah menjadi medium memperkenalkan identiti, budaya serta bakat seni tempatan kepada khalayak lebih luas.

“Selain menjemput artis dari luar sebagai tarikan acara, kami turut memberi ruang kepada artis tempatan membuat persembahan sepanjang penganjuran Rasa Fest.

“Kami mahu Rasa Fest menjadi platform memperkenalkan artis tempatan kepada pengunjung luar, sekali gus membantu mengetengahkan bakat mereka kepada khalayak yang lebih besar,” ujarnya.

Tambah beliau, gabungan elemen makanan, hiburan dan budaya bukan sahaja menarik kehadiran pengunjung, malah mewujudkan suasana lebih meriah serta memberikan pengalaman berbeza kepada mereka yang hadir.

Persembahan Mak Gendang oleh Dayang Azura dan Dayang Mastura turut menerima sambutan positif apabila ramai pengunjung mengambil peluang menyaksikan persembahan itu sambil menikmati pelbagai juadah yang ditawarkan.

Dalam pada itu, Hasbollah merakamkan penghargaan kepada warga Bintulu atas sokongan berterusan yang diberikan sepanjang penganjuran festival.

“Terima kasih kepada warga Bintulu yang sentiasa memberi sokongan. Sambutan yang diterima sejak hari pertama hingga hari kedua amat menggalakkan dengan kehadiran ramai pengunjung,” katanya.

Beliau berkata, gabungan persembahan kebudayaan tradisional, artis tempatan dan artis jemputan menjadikan Rasa Fest bukan sekadar festival makanan, malah platform yang menyatukan hiburan, keusahawanan dan warisan budaya dalam memperkenalkan keunikan Sarawak kepada masyarakat luar.

Oleh Faizah Muzidi

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: RM205,195 diperuntuk naik taraf tandas awam Pasar Basah Batu 7
Next: Filem “Dear You” sampaikan mesej kasih sayang dan pengorbanan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.