
SIBU: Kelab Sukan dan Rekreasi Lembaga Pelabuhan Rajang (RAPPORT) melancarkan cabaran penurunan berat badan selama lima bulan sebagai usaha memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli dan warga kerja lembaga berkenaan.
Pengerusinya, Hayati Kiprawi berkata inisiatif itu dimulakan secara rasmi semalam bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-50 RAPPORT yang berlangsung di Dewan Lakis, Sibu semalam.
“Sebagai permulaan, semua peserta telah menjalani sesi penimbangan berat badan hari ini. Cabaran ini akan berjalan selama lima bulan, dan penimbangan semula akan dilakukan bagi menilai pencapaian masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat tersebut.
Hayati berkata, program ini terbuka kepada semua 163 ahli RAPPORT dengan objektif utama untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan serta menggalakkan gaya hidup aktif di tempat kerja.
“Konsepnya ringkas dalam tempoh lima bulan, peserta bebas melakukan apa jua bentuk aktiviti sihat yang selamat dan berkesan untuk menurunkan berat badan. Ia mungkin langkah kecil tetapi sangat bermakna dalam usaha membudayakan hidup sihat,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun tiada pemantauan rasmi setiap bulan, peserta digalakkan membuat semakan kendiri bagi menilai perkembangan masing-masing.
“Penilaian akhir akan dibuat selepas lima bulan. Peserta yang berjaya mencatatkan penurunan berat badan tertinggi akan menerima hamper sebagai penghargaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi kejayaan seorang kakitangan RAPPORT yang sebelum ini berjaya menurunkan berat badan daripada 120 kilogram kepada 90 kilogram melalui usaha sendiri, yang kini menjadi inspirasi kepada pelaksanaan program ini.
Selain cabaran penurunan berat badan, RAPPORT turut merancang pelbagai program kesihatan dan rekreasi lain sepanjang tahun, termasuk penyertaan dalam Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) serta aktiviti e-sukan sebagai langkah membina komuniti kerja yang lebih sihat, aktif dan sejahtera.
Oleh Akun Jiman