TEBEDU: Pembinaan sekolah berpusat di luar bandar bakal merapatkan jurang perbezaan kemudahan dan menyediakan persaingan setara dengan sekolah bandar.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong berkata, kekurangan utama bagi sekolah luar bandar pada ketika ini adalah disebabkan kemudahan yang tidak memuaskan.
Menurutnya, melalui inisiatif penubuhan sekolah berpusat ini, pelajar luar bandar khususnya di bahagian pedalaman dapat merasai sekolah yang lebih selesa dan dilengkapi dengan segala kemudahan dan infrastruktur yang baik.
Menurutnya, kekurangan dari segi kemudahan menjadi salah satu kekangan kepada sekolah luar bandar untuk bersaing dengan sekolah bandar.
“Saya telah lama berada dalam bidang pendidikan ini, tidak ada istilah perbezaan kecerdasan antara komuniti atau kaum, bezanya hanyalah kerana kekurangan kemudahan.
“Jika di bandar, mereka beruntung kerana kebanyakan daripada ibu bapa mereka sudah berpendidikan tinggi, sekolah pula dilengkapi dengan kemudahan yang baik dan mereka dididik oleh guru yang berpengalaman.
“Maka itu, kemudahan yang lengkap mesti disediakan di sekolah luar bandar, termasuk dengan penempatan guru yang berpengalaman agar dapat memangkin persaingan yang setara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Perasmian Gereja St. Paul Kampung Saan di Jalan Tebedu, di sini semalam.
Kata Manyin, disebabkan kerana terlalu banyak sekolah, Sarawak kini mempunyai 3,000 guru yang terpaksa mengajar matematik dan sains tanpa mendapat latihan yang terperinci.
Oleh kerana itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk melatih guru di negeri ini.
“Itulah sebabnya kami (Kerajaan Sarawak) berusaha keras untuk membina sekolah berpusat yang membolehkan sekolah kecil bergabung serta menyediakan peruntukan kepada kemudahan guru yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Manyin turut berkesempatan menzahirkan ucapan tahniah dua orang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Temong yang memenangi anugerah filem animasi pada ‘Festival de Cinema Escola de Alvorada’ di Brazil, baru-baru ini.
Katanya, beliau akan memberikan insentif kepada Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Fadhli, sebagai pengiktirafan mereka dan SK Temong kerana mengharumkan nama Malaysia ke persada dunia.
“Sekolah ini sering mendapat tumpuan kami kerana mereka berjaya meraih kemenangan dalam pentandingan anjuran kementerian saya selama dua tahun.
“Mereka berjaya memperoleh RM2 ribu pada ketika itu. Saya tambah RM10 ribu lagi dan merancang untuk menambah satu lagi blok sekolah sebagai suntikan semangat kepada mereka,” jelasnya lagi.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP