
SIMANGGANG: Penganjuran program sosial dan kebudayaan mencerminkan peranan penting Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam merapatkan hubungan antara komuniti berbilang kaum, agama, dan latar belakang.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, ia merupakan contoh terbaik bagaimana nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, kerjasama, dan keprihatinan sesama jiran dapat dipupuk secara berterusan dalam kalangan masyarakat.
“Penganjuran sesebuah program kemasyarakatan melibatkan pelbagai aktiviti berjaya menghimpunkan penduduk setempat dari pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana penuh mesra dan harmoni mengukuhkan lagi semangat kejiranan serta memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain.
“KRT bukan sahaja berfungsi sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi kerajaan, tetapi juga sebagai pemangkin kepada perpaduan melalui aktiviti sosial dan kebudayaan yang inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis ‘Ngiling Tikai’ KRT Bahagian Sri Aman yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, malam tadi.
Doris turut menambah bahawa program sebegini memberi ruang kepada masyarakat untuk lebih mengenali dan memahami kepelbagaian budaya yang ada, sekali gus mengurangkan jurang perbezaan dan meningkatkan toleransi.
“Penganjuran program ini jelas menunjukkan peranan aktif KRT dalam memperkukuh perpaduan serta membina masyarakat yang bersatu padu, seiring dengan aspirasi negara ke arah keharmonian dan integrasi nasional,” katanya.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha KRT Bahagian Sri Aman, Doris turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program komuniti yang lebih inklusif dan berimpak.
Oleh Adi Safarman