Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Rangkaian ‘tiga satelit’ perkasa mobiliti Bintulu-Kidurong-Samalaju
  • SEMASA

Rangkaian ‘tiga satelit’ perkasa mobiliti Bintulu-Kidurong-Samalaju

Utusan Sarawak 3 days ago
ABANG Johari semasa menandatangani plak perasmian Hotel Imperial Bintulu sebagai simbol pelancaran di sini, hari ini. Foto UKAS

BINTULU: Kerajaan Sarawak akan memperluas sistem pengangkutan moden ke Bintulu menerusi pelaksanaan sistem pengangkutan stesen Transit Aliran Automasi (ART), sekali gus membentuk rangkaian ‘tiga satelit’ yang menghubungkan Bintulu, Kidurong dan Samalaju.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif itu bakal menjadikan Bintulu sebagai bandar kedua selepas Kuching yang menikmati kemudahan pengangkutan pintar berasaskan teknologi hijau.

“Kerajaan akan berusaha mempertingkatkan kemudahan mobiliti di Bintulu, termasuk mewujudkan hubungan terus dari Bintulu ke Kidurong dan seterusnya ke Samalaju.

“Ini bermakna kita akan wujudkan tiga satelit dari Bintulu ke Kidurong dan Kidurong ke Samalaju,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Imperial Hotel Bintulu, di sini, hari ini.

Premier Sarawak menambah, pembangunan rangkaian tersebut akan dilengkapkan dengan pembinaan sebuah stesen kecil di Samalaju yang akan menjadi sebahagian daripada pelaksanaan ART di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Kita akan sediakan ART yang menggunakan tenaga hidro bagi menghubungkan Bintulu-Kidurong ke Samalaju.

“ART sudah dilaksanakan di Kuching dan kini kita laksanakan yang kedua di Bintulu. Ini pasti akan meningkatkan kecekapan mobiliti antara tiga pusat penting ini,” ujarnya.

Seiring dengan peningkatan keperluan tenaga di kawasan tersebut, Premier Sarawak turut mengumumkan pembinaan loji janakuasa kitaran gas berkombinasi berkapasiti 500 Megawatt (MW) di Bintulu sebagai langkah memperkukuh infrastruktur tenaga negeri.

Menurut beliau, sasaran kerajaan negeri adalah untuk membekalkan sehingga satu gigawatt (1,000 MW) kuasa elektrik menjelang 2035, selaras dengan pertumbuhan pelaburan serta peningkatan bilangan penduduk di Bintulu.

“Loji ini akan menyediakan bekalan tenaga kepada penduduk Bintulu serta pelabur yang datang ke sini. Selepas ini, akan dibina pula loji kedua, juga dengan kapasiti 500 MW.

“Ini adalah antara komitmen kerajaan negeri untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur ke kawasan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan perancangan untuk membina sebuah sekolah antarabangsa di Bintulu bagi memenuhi keperluan komuniti global yang semakin berkembang.

“Kita menjangkakan pertambahan penduduk bukan sahaja dalam kalangan rakyat tempatan, tetapi juga warga asing yang datang belajar dan bekerja di Bintulu. Maka, sebuah sekolah antarabangsa amat diperlukan,” katanya.

“Menurut beliau, semua inisiatif yang dirancang merupakan pelaburan strategik kerajaan negeri dalam merealisasikan visi menjadikan Bintulu sebagai hab utama ekonomi dan pelaburan menjelang 2035, dengan sokongan pelaburan daripada sektor swasta.”

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi serta Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros), Dato Ibrahim Baki, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shin Yang, Datuk Ling Chiong Ho serta Naib Pengerusi Eksekutif yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Shin Yang, Datuk James Ling Lu Kiong. – UKAS

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Dewan rakyat: Bantuan rakyat 2025 naik, bukti komitmen kerajaan kurangkan kos sara hidup
Next: 7,862 gelandangan diambil JKM dalam tempoh lima tahun mulai 2021 – Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.