
WASHINGTON: Rang undang-undang pengurangan cukai oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump diluluskan melalui undian jawatankuasa utama Kongres semalam, membuka laluan untuk dibahaskan dan diundi di peringkat dewan penuh, lapor Xinhua.
Rang undang-undang itu diluluskan dengan undian 17-16 mengikut garis panduan parti, apabila empat anggota konservatif Republikan dalam Jawatankuasa Belanjawan Dewan, yang sebelum ini menyekat rang undang-undang itu, membenarkannya diteruskan dengan mengundi “hadir” tanpa menyatakan sokongan atau bantahan.
Rang undang-undang itu merangkumi peningkatan besar dalam perbelanjaan untuk penguatkuasaan imigresen dan ketenteraan, serta bakal melanjutkan pengurangan cukai Trump pada 2017 yang dijadualkan tamat pada akhir tahun ini.
Turut dimasukkan dalam rang undang-undang itu ialah beberapa pemotongan terhadap peruntukan Medicaid, bantuan makanan dan pembiayaan tenaga bersih.
Menurut media AS, rang undang-undang itu mungkin perlu disesuaikan bagi mendapat kelulusan di Dewan Perwakilan sepenuhnya, memandangkan ahli Republikan di Senat memberi isyarat yang ia tidak akan diluluskan tanpa pindaan besar.
-Bernama