SIBU: Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Sibu telah mencadangkan rancangan mitigasi banjir bernilai RM25 juta untuk menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering dialami penduduk di Kampung Sentosa dan Jalan Tekam.
Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Ching Yong berkata, beliau telah difahamkan, terdapat 11.3 kilometer saliran di sekitar Kampung Sentosa berada di bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Sibu.
“Berhubung masalah banjir kilat di Kampung Sentosa dan Jalan Tekam, jabatan tersebut juga telah mengusulkan rancangan mitigasi banjir sekitar RM40 juta yang sedang memasuki tahap akhir perancangan iaitu persetujuan dari kerajaan negeri.
“Penyelesaian yang lebih cepat adalah dengan meningkatkan kekerapan pembersihan longkang dari satu kali hingga tiga kali setahun,” jelasnya kepada pemberita.
Katanya, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited menyelesaikan masalah banjir di sini dengan melaksanakan rancangan tebatan banjir.
“Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Sibu, Ir Rudi Abang Zamhari telah memberikan jaminan perkara itu ketika pemimpin parti yang terdiri daripada Timbalan Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Dudong, Jamil Julaihi, Kaunselor Nazatulshima Bujang dan saya sendiri mengadakan kunjungan ke pejabat Rudi di sini, semalam,” ujarnya.
Menurutnya, tujuan kunjungan itu untuk mencari jalan penyelesaian mengenai masalah banjir kilat yang kerap di Kampung Sentosa dan Jalan Tekam yang merupakan kawasan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong.
“Rudi memaklumkan kepada kami bahawa Sibu adalah satu-satunya bandar di Sarawak yang mempunyai rancangan tebatan banjir dengan 11 lokasi untuk pemasangan pam air.
“Kawasan tersebut adalah di Sungai Engkabang (berhampiran dengan Kem PGA Lanang), Hulu Lanang, Jalan Alan, Jalan Ek Dee, Hotel Kingwood, Pasar Sentral Sibu, Sungai Bakong, Sungai Beranggau, Sungai Antu, Jalan Pahlawan dan Jalan Ling Kai Cheng,” ujarnya lagi.
Tambahnya, lima pam pertama telah siap dan beroperasi manakala enam pam lagi masih dalam proses pembinaan.
Oleh Akun Giman