
SELEPAS tamatnya Perang Dunia Kedua, keadaan di Sarawak mengalami kemerosotan yang agak serius dan memerlukan pemulihan untuk mengembalikan kemakmuran sebelum perang.
Raja Vyner Brooke menggunakan alasan ini untuk menyerahkan Sarawak sebagai koloni British.
Peralihan kuasa kepada kerajaan Kolonial British menyaksikan usaha-usaha pemulihan digerakkan untuk mengembalikan kestabilan sosioekonomi di Sarawak, sekali gus membolehkan corak kehidupan harian penduduk kembali normal seperti zaman pra-perang.
Namun demikian dana-dana kerajaan British seperti Tabung Pembangunan dan Kebajikan (Colonial Development & Welfare, CD & W), lebihan dalaman dan hutang belum mencukupi dalam memacu pembangunan dan kemajuan Sarawak.
Kekangan kewangan ini menyebabkan Sarawak terpaksa bergantung kepada suntikan dana luar bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan. Dalam konteks ini, Rancangan Colombo muncul sebagai antara instrumen terpenting yang memenuhi keperluan tersebut.
Penubuhan
Rancangan Colombo merupakan salah satu inisiatif negara-negara maju untuk membangunkan negara yang mundur dan membangun seperti Sarawak.
Usaha ini amat diperlukan kerana pengaruh komunis yang cukup kuat ketika itu mampu mempengaruhi rakyat untuk menentang kuasa Barat. Oleh itu ada pihak menyatakan rancangan ini adalah Rancangan Marshall Timur Jauh.
Atas sebab itu usaha untuk membangunkan masyarakat di Sarawak amat perlu untuk membantu membangunkan modal insan, memajukan sektor pertanian dan industri serta melahirkan pemimpin-pemimpin yang mampu mentadbir Sarawak.
Ini kerana kemunduran ekonomi Sarawak berpotensi dieksploitasi oleh pihak komunis bagi menjejaskan kedudukan pentadbiran British.
Isu kelemahan ekonomi dan ancaman anasir komunis di negara-negara Asia sentiasa menjadi fokus utama dalam perbincangan para pemimpin Komanwel.
Dalam mesyuarat mereka di Colombo, Sri Lanka pada Januari 1950, Menteri Kewangan Sri Lanka, J. R. Jayewardene mencadangkan agar diwujudkan satu bantuan kewangan untuk negara-negara mundur dan membangun.

Wakil Australia iaitu Sir Percy Spender membentangkan memorandum yang bertajuk Economic Policy in South and South-East Asia. Memorandum ini kemudiannya dicantumkan dengan resolusi yang melahirkan cadangan Rancangan Colombo.
Susulan daripada mesyuarat tersebut, beberapa siri perbincangan dalam Jawatankuasa Penyelaras telah diadakan. Rentetan daripada itu, Rancangan Colombo bagi Pembangunan Kerjasama di Asia Selatan dan Asia Tenggara (The Colombo Plan for Co-operative Economic and Social Development in Asia and the Pacific) telah ditubuhkan secara rasmi pada 1 Julai 1951. Singkatan pendeknya adalah Rancangan Colombo.
Beberapa negara maju telah memberikan komitmen untuk membiayai inisiatif ini. Blok negara penderma merangkumi Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand dan Jepun.
Bantuan
Pada peringkat awal, rancangan ini bermula dengan penghantaran beberapa pelatih wanita dari Sri Lanka ke New Zealand bagi menjalani latihan pergigian.
Susulan daripada itu, kira-kira 20,000 pelatih telah menerima manfaat daripada rancangan tersebut yang secara keseluruhannya menelan perbelanjaan sekitar $84 juta dolar.
Selain latihan modal insan, bantuan turut disalurkan dalam bentuk aset modal menerusi pembekalan kelengkapan bagi wilayah yang terlibat. Antara barangan yang dihantar termasuklah jentera pertanian, peralatan pembinaan jalan raya dan kelengkapan perubatan.
Pada masa sama, bantuan bagi pembinaan sekolah, penyediaan peralatan teknikal, dan penubuhan perpustakaan turut digerakkan.
Kecil
Sarawak tidak ketinggalan dalam mendapat manfaat daripada Rancangan Colombo. Pelaksanaan enam tahun pertama Rancangan Colombo menyaksikan pengumuman dana global yang mencecah $16 bilion.
Bagaimanapun, agihan dana bagi Sarawak adalah sangat terhad, iaitu sekadar $38.6 juta. Jumlah ini jauh lebih kecil berbanding peruntukan yang diterima oleh Persekutuan Tanah Melayu sebanyak $454 juta dan wilayah jiran, Borneo Utara, yang mendapat bantuan berjumlah $44 juta.
Pecahan jumlah peruntukan dana diberi kepada Sarawak sebanyak $38.6 juta ini diagihkan ke beberapa sektor. Sektor perhubungan dan tenaga mendapat peruntukan berjumlah$14.6 juta, manakala pertanian dan hutan hanya mendapat $6 juta.
Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak $18 juta telah diagihkan secara khusus untuk program sosial. Dana berkenaan antaranya dibelanjakan untuk sektor pendidikan merangkumi pengajian tinggi dan latihan teknikal, pembekalan buku teks sekolah vernakular, dan usaha membaik pulih bangunan sekolah.
Selain itu, bidang perubatan turut menerima peruntukan khas berjumlah $3.1 juta. Kebajikan belia pula diperuntukkan sebanyak $200,000. Sejumlah $5.4 juta untuk pembinaan bangunan kerajaan dan perumahan kakitangan kerajaan.
Peruntukan dana sebanyak $6.4 juta untuk bekalan elektrik dan bekalan air. Peruntukan untuk dana ini juga termasuk banci penduduk untuk 1951, dan untuk perkhidmatan statistik.
Biasiswa
Pada 1952, kerajaan Australia pula menganugerahkan biasiswa kepada calon-calon yang layak untuk menerimanya. Dalam pemilihan pertama seramai enam orang telah dipilih oleh kerajaan Australia untuk mendapat biasiswa.
Daripada jumlah itu seorang calon dari Sarawak iaitu Joseph Yong Kim Kwee telah dipilih untuk mendapat biasiswa yang ditawarkan. Beliau dianugerahkan biasiswa itu untuk belajar dalam bidang perhutanan di Canberra.
Calon Tanah Melayu paling ramai mendapat biasiswa tersebuti aitu seramai tiga orang, manakala yang lain pula seorang masing-masing dari Sri Lanka dan Indonesia.
Yang menariknya kerajaan Australia pada 1953 menghadiahkan lembu jantan jenis Hereford kepada Sarawak. Hadiah lembu ini juga termasuk dalam Rancangan Colombo bagi tujuan meningkatkan mutu baka lembu diternak di Sarawak.
Latihan
Pada 1954, permohonan Sarawak mendapat tiga orang pakar dari rancangan tersebut telah diluluskan. Pada tahun sama, Sarawak juga dapat menghantar seramai 14 orang untuk mendapat latihan.
Bagaimanapun angka ini paling kecil jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang menerimanya pada tahun sama.
Dari sudut lain pula kerajaan Australia menyediakan latihan berbentuk seminar kepada negara-negara terlibat termasuk Sarawak. Seminar yang diadakan selama empat bulan telah diadakan pada 23 Mac 1953. Namun demikian hanya seorang sahaja wakil Sarawak terpilih mengikuti seminar tersebut.
Secara ringkasnya Rancangan Colombo ini satu rancangan yang mempunyai matlamat serampang dua mata dengan membendung ancaman komunis dan membangunkan negara-negara membangun.
Di lain masa akan diperdalamkan lagi perbincangan tentang kaitan Rancangan Colombo dan Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Pensyarah Kanan di Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).



