


DARO: Orang ramai dinasihatkan agar merancang perjalanan pulang ke kampung halaman bagi mengelakkan kesesakan jalan raya susulan peningkatan jumlah kenderaan sempena sambutan Hari Raya yang bakal tiba.
Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata, hasil tinjauan mendapati pergerakan kenderaan dari Daro menuju ke Sarikei dan Sibu adalah perlahan berikutan masih bergantung kepada perkhidmatan feri di Batang Paloh.
Menurutnya, jumlah kenderaan yang menggunakan laluan Serdeng ke Daro meningkat, namun masih terkawal.



“Perkhidmatan feri di Sungai Batang Paloh menyediakan tiga feri yang beroperasi seawal 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tinjauan pergerakan dari Mukah ke Igan dan Matu pula adalah lancar berikutan Jambatan Batang Igan telah siap dan boleh digunakan sepenuhnya.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan masing-masing, sentiasa memeriksa kenderaan sebelum bergerak serta mengutamakan keselamatan semasa memandu,” ujarnya.
Oleh Akun Giman