
KUCHING: Dua suspek direman selama empat hari bermula esok hingga Sabtu ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua lelaki berusia 29 dan 30 tahun itu ditahan sekitar 12.01 tengah malam tadi di sebuah premis di Jalan Datuk Tawi Sli, Hua Joo Park.
Menurutnya, polis merampas 133 biji pil ekstasi seberat 55.02 gram dan 15 paket plastik kecil berisi disyaki ketamin seberat 14.04 gram dengan jumlah nilai rampasan dianggarkan RM6,650.
Beliau berkata, sebelum itu sekitar 11.30 malam, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan di kawasan tangga sebuah bangunan di sekitar kawasan berkenaan dan polis merampas tiga paket plastik putih mengandungi disyaki ekstasi seberat keseluruhan 121.88 gram. Nilai pasaran dadah tersebut dianggarkan RM1,050.
“Suspek tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas daripada kesemua suspek dianggarkan bernilai RM7,700.
Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif ketamin, methamphetamine dan amphetamine.
Semakan rekod mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah lampau manakala suspek kedua mempunyai tiga rekod jenayah.
Suspek direman selama tujuh hari bermula esok hingga 3 Mac di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut.
Alexson menegaskan kejayaan operasi tersebut adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah adalah kesalahan serius di sisi undang undang. Jabatan ini kekal komited memerangi dadah demi melindungi generasi kini dan akan datang kerana dadah adalah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian hotline JSJN di 012 208 7222 atau hotline Kontinjen Sarawak di 017 592 9211.
Oleh Connie Chieng