AKUN GIMAN
SIBU: Parlimen Sibu tidak harus menjadi kerusi tradisi kalah buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, sudah tiga kali PRU sejak 2010 hingga 2018, calon Barisan Nasional (BN) yang kini GPS, tewas.
Bagaimanapun katanya, GPS pada PRU-15 kali ini mempunyai peluang cerah merampas semula kerusi Parlimen itu jika melihat kepada prestasi GPS di Sibu pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Disember lalu.
Annuar berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka yang diwakilinya akan menjadi kawasan penting untuk memenangi Parlimen Sibu berdasarkan majoriti lebih 10,000 undi pada PRN-12 lalu.
“Jika dicampur semuanya (undi dari DUN Bawang Assan dan DUN Pelawan), kita berharap boleh memenangi Parlimen Sibu kali ini.
“Atas sebab itu saya mengulangi, kita tidak boleh jadikan kerusi ini sebagai kerusi tradisi kalah. Sudah ada ‘petunjuk’ jelas di sana, di mana kita mempunyai peluang yang baik untuk menang kerusi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PBB Nangka di Dewan MUC, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata jentera pilihan raya PBB di Sibu sudah bersedia untuk memberi kerjasama kepada calon Parlimen Sibu bagi memastikan kemenangan pada PRU-15 ini.
“Kami tidak kisah sama ada calon itu dari PBB, Parti Demokratik Progresif (PDP), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) atau Parti Rakyat Sarawak (PRS), tetapi calon itu mestilah calon yang boleh menang di kerusi Parlimen Sibu,” katanya.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu menegaskan, pemilihan calon untuk Parlimen Sibu sangat penting kerana pengundi sudah semestinya memerlukan calon yang sedia berkhidmat kepada rakyat dan bukan hanya pandai berkata-kata sahaja.
“Apa yang lebih penting, calon itu haruslah memberi tumpuan kepada isu tempatan di Sibu berbanding isu nasional.
“Calon yang boleh berkhidmat maksudnya bukan calon yang hanya boleh menyalak (berkata-kata). Ya, sudah tentu pandai berkata-kata itu penting, tetapi lebih penting jika kamu boleh berkhidmat kepada rakyat di Sibu.
“Untuk menyelesaikan masalah banjir, kita mahu calon yang boleh bekerja, begitu juga dengan masalah kesesakan lalu lintas. Jadi, tidak berguna jika kita memilih calon yang hanya pandai berkata-kata sahaja.
“Sebab itu, saya sarankan cuma fokus kepada isu tempatan di Sibu, lupakan isu nasional yang tidak akan memberi banyak manfaat kepada kita,” katanya.
Beliau berharap nama calon dapat didedahkan secepat mungkin agar jentera parti dapat memperkenalkannya kepada pengundi di Sibu.
Menyentuh mengenai hasil mesyuarat itu, Annuar berkata ia antara lain membincangkan mengenai gerak kerja jentera PBB yang kembali seperti biasa selepas pandemik Covid-19.
“Pada pilihan raya lalu, kita tidak dapat berkempen dari rumah ke rumah sebab masih pandemik Covid-19, tetapi kali ini sudah dibenarkan seperti biasa. Jadi, kita akan bekerja dengan cara lama dan baru pada pilihan raya kali ini,” katanya.