
KUCHING: Penyanyi legenda tanah air, Dato Ramli Sarip, mencuri tumpuan apabila membuat penampilan istimewa pada Majlis Makan Malam sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 Peringkat Sarawak dan Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam ini.
Kemunculan figura yang sinonim dengan gelaran Papa Rock itu disambut meriah oleh para tetamu yang terdiri daripada pengamal media, penggiat industri komunikasi, wakil agensi kerajaan serta kenamaan yang hadir memeriahkan majlis tersebut.
Ramli menghiburkan hadirin menerusi rangkaian lagu malar segar, termasuk Panah Beracun, Nyanyian Serambi dan lagu duet Doa Buat Kekasih, sekali gus menghidupkan suasana serta menerima tepukan gemuruh daripada para tetamu.
Majlis bertambah meriah apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, turut naik ke pentas untuk berduet bersama Ramli menerusi lagu Doa Buat Kekasih, sekali gus mengundang sorakan dan tepukan gemuruh daripada hadirin.
Majlis makan malam itu diadakan sebagai acara kemuncak HAWANA 2026 Peringkat Sarawak dan SMeC 2026 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat, di samping mengukuhkan hubungan antara media, kerajaan dan pemain industri.
Shikin Mahmud



