
KUCHING: Masih ramai wanita di negara ini belum mengambil serius risiko kanser serviks meskipun penyakit itu semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, situasi itu membimbangkan kerana ada yang masih kurang kesedaran, selain faktor malu untuk menjalani saringan.
“Memang serius, tetapi ramai yang masih belum mengambilnya sebagai satu cabaran yang serius. Ada yang mungkin belum memahami atau berasa malu untuk tampil membuat pemeriksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Outreach WCaRe: Pemerkasaan Komuniti Etnik di Kampung Pasir Panjang, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kanser serviks sebenarnya boleh dirawat sekiranya dikesan lebih awal melalui ujian HPV DNA, sekali gus mengurangkan risiko komplikasi serius.
“Jangan takut dan jangan tunggu. Kanser serviks boleh dirawat jika kita kesan awal. Sebab itu kita bawa perkhidmatan ini supaya wanita boleh buat saringan sendiri dengan lebih mudah dan cepat,” katanya.
Nancy turut memaklumkan bahawa usaha memperluas perkhidmatan saringan sedang giat dilaksanakan di seluruh negara bagi meningkatkan capaian kepada wanita, khususnya di kawasan luar bandar.
“Tidak semua negeri mencapai sasaran saringan, walaupun kita letakkan sasaran tertentu setiap tahun. Ini menunjukkan masih ada yang belum mengambil serius perkara ini,” ujarnya.
Menurutnya, di Sarawak sahaja lebih 55,000 wanita telah menjalani saringan HPV DNA sejak 2019, dengan ribuan kes positif dikesan serta dirujuk untuk rawatan lanjut.
Tambah beliau, pendekatan komuniti melalui pelantikan Duta Etnik juga dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita setempat mengenai kepentingan pengesanan awal.
“Nasihat daripada orang yang kita kenal lebih mudah diterima. Sebab itu kita latih mereka untuk menyampaikan maklumat dan menggalakkan wanita tampil menjalani saringan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa ujian HPV DNA yang disediakan adalah percuma bagi wanita berusia 30 hingga 65 tahun, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai untuk menjalani pemeriksaan tanpa halangan kos.
Oleh Shahrul Qaizat