
LIMBANG: Puasa Ramadan adalah ruang terbaik untuk memperbetul niat dan meningkatkan kecekapan diri, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah.
Beliau berkata bulan Ramadan bukan alasan untuk bermalas-malasan, sebaliknya merupakan bulan rahmat yang memberi peluang memperbaiki diri.
“Ramadan, bulan rahmat yang akan disambut esok, diharapkan memberi kekuatan kepada kita dalam mengerjakan ibadah serta menunaikan tanggungjawab kerjaya,” katanya.
Menurut Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang, puasa bukan penghalang kepada kemajuan dan produktiviti, sebaliknya ia memberikan kekuatan dalaman untuk terus berdaya saing.

Beliau berkata umat Islam perlu menjadikan cabaran ketika menyambut Ramadan sebagai dorongan untuk memajukan diri agar lebih produktif dan berdaya saing.
Beliau menyampaikan kenyataan itu pada Majlis Pelancaran Semarak Ramadan dan Penyerahan Cek Sumbangan serta Kurma Peringkat Limbang 2026 yang berlangsung di Dewan Kampung Bunga Raya hari ini.
Dalam majlis sama, sebanyak RM262,000 peruntukan pemberian terus atau Outright Grant (OG) diserahkan kepada 10 masjid dan 53 surau di Daerah Limbang.
Oleh Adeng Edrus