Oleh: Nabillah Bolhassan
“MAK Midah tak sihat ke? Sudah beberapa hari saya lalu warung Mak Midah untuk membeli kuih celorot, kecewa sungguh saya setiap kali lalu tengok warung tak buka.” Azlin yang baru melangkah masuk ke kedai runcit Faizal ramah menegur Mak Midah yang sedang membayar barang – barang di kaunter.
“Ya, Mak Midah. Saya baru nak tanya perkara yang sama. Erni sampai menangis bila saya kata warung Mak Midah tutup. Orang perempuan yang mengidam ni kalau tak dapat apa yang dia nak, mulalah nak merajuk sampai menangis. Pening kepala saya nak memujuk. Bukannya saya tak usaha mencari yang lain, tapi dia nak juga kuih celorot Mak Midah.” Faizal yang sedang mengira harga barang yang dibeli Mak Midah juga turut menyampuk.
Asri yang beratur di belakang Mak Midah sementara menanti giliran di kaunter untuk membayar barang yang dibeli juga mencelah, “Mak saya hampir setiap hari minta saya lalu depan warung Mak Midah, nak makan kuih celorot katanya. Tapi setiap kali lalu, kecewa sungguh kami apabila melihat warung Mak Midah tutup. Kami ingat Mak Midah pergi ke Semenanjung menjenguk anak di sana.”
Mak Midah mengerut kening, “Mak Midah buka warung seperti biasa. Mak Midah hanya tutup warung pada hujung minggu. Kamu semua pergi ke warung hari biasa ke?”
“Ya. Hari biasa.” Serentak Azlin, Faizal dan Asri menyahut.
Mak Midah kebingungan, “Pelik ni. Mak Midah memang buka warung setiap hari. Tapi semenjak kebelakangan ni Mak Midah dah kurangkan jumlah jualan sebab dari hari ke hari semakin kurang pembeli. Kalau buat dalam kuantiti yang banyak tapi tak ada yang membeli, banyak Mak Midah terpaksa tanggung kerugian. Walaupun mengurangkan jumlah jualan Mak Midah tetap buka warung macam biasa.”
“Pelik juga ya. Saya pun hairan sebenarnya bila tengok warung Mak Midah tu tak buka. Esok hari Isnin, Mak Midah buka kan? Saya nak singgah di warung Mak Midah esok. Erni tu dah sarat dah, haraplah dia sempat makan kuih celorot Mak Midah sebelum bersalin.” Faizal menghulurkan duit baki kepada Mak Midah.
Selepas perbualan bersama Mak Midah di kedai runcitnya tempoh hari, dua hari berturut – berturut Faizal kecewa. Bukannya kecewa kerana kedai Mak Midah tutup, tetapi kualiti kuih celorot Mak Midah sangat mengecewakan. Tidak sama langsung seperti yang pernah dibelinya sebelum ini. Jika membeli kuih celorot Mak Midah sebelum ini rasanya sempurna, cukup manis dan berlemak. Kalau tidak, masakan orang kampung tidak tergila-gilakan kuih celorot Mak Midah. Bahkan bila tiba bulan Ramadan, permintaan kuih celorot Mak Midah melonjak naik sehingga pembeli perlu menempah dua hari sebelum.
Sudahlah kecewa sebelum ini apabila mahu membeli, warung Mak Midah pula dilihatnya tutup. Minggu ini, apabila sudah membeli rasanya pula tidak seperti yang diharapkan. Pada hari Isnin, isterinya memberitahu kuih celorot yang dibeli sudah basi dan berlendir. Faizal malas mahu memanjangkan cerita mengadu kepada Mak Midah, dia hanya menganggap nasibnya kurang baik. Namun pada hari berikutnya dia membeli, kuih celorot Mak Midah berulat. Dia berasa tidak sedap hati kalau hanya mendiamkan perkara ini. Mak Midah pernah memberitahu jualannya sudah merosot kebelakangan ini, mungkin ini puncanya dan Mak Midah tidak sedar akan perkara ini kerana tiada siapa yang memaklumkan kepada dia.
Sebelum menghidupkan enjin kereta untuk menuju semula ke warung Mak Midah, Faizal menerima pesanan gambar Whatsapp di telefon pintarnya daripada Asri. Mengucap panjang Faizal dan hampir terlepas telefon di tangannya apabila membuka pesanan tersebut.
‘Aku tak jadi nak beli kuih celorot Mak Midah hari ini. Sebelum turun dari kereta, aku tengok keadaan warung dia lain macam. Bila aku perhatikan, macam ada sesuatu yang tak kena. Kau tengok tangan Mak Midah dalam gambar ni, macam berlumuran tanah kan?’ – Asri.
Faizal cuba menatal skrin telefon untuk zum dekat gambar yang dihantar Asri kepadanya. Ya tangan Mak Midah dalam gambar tersebut kelihatan seperti menggerutu dan berlumuran tanah, tak ubah seperti tangan penggali kubur yang melakukan kerja-kerja menggali tanah perkuburan. Selepas memerhatikan gambar tersebut dan cuba menghubung kaitkan kualiti kuih celorot Mak Midah yang dibelinya semalam dan tadi serta cerita mereka di kedai runcitnya dahulu yang melihat warung Mak Midah sentiasa tutup, dia yakin Mak Midah sudah terkena sihir akibat dengki orang tertentu. Perkara ini sudah tentulah tidak mustahil, kerana perniagaan Mak Midah sebelum ini sentiasa sahaja laris. Kalau beberapa tahun lepas, Mak Midah hanya menjual kuih celorot pada bulan puasa, tetapi oleh sebab permintaan yang tinggi Mak Midah mengambil keputusan untuk berniaga pada hari biasa selain bulan Ramadan. Cuma, kuantiti jualan akan lebih banyak ketika bulan Ramadan bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
Sebaik sahaja keretanya berhenti di hadapan warung Mak Midah, kelihatan suami Mak Midah yang mesra dipanggil Pak Ramli sedang bersiap-siap mahu menutup warung. Faizal sempat menjeling jualan yang tidak laku di atas meja. “Dah nak tutup warung ke Pak Ramli? Seorang saja nampaknya ni, Mak Midah pagi tadi ada kan?”
Pak Ramli yang leka menyusun barang mengangkat kepala sebaik sahaja terdengar ada suara yang menyapa, “Kamu rupanya, Faizal. Ya, Mak Midah kamu sudah aku suruh pulang ke rumah. Dia kerap benar mengadu sakit sekarang. Kepalanya asyik pening dan tak lalu makan. Kadang-kadang tu sampai termuntah-muntah. Kamu kenapa ke mari? Bukankah kamu sudah membeli kuih celorot pagi tadi?”
Faizal menggaru kepala yang tidak gatal, tidak tahu bagaimana mahu memulakan cerita, “Saya serba salah nak beritahu ni Pak Ramli. Kalau tak beritahu, sampai ke sudah nanti keluarga Pak Ramli tak tahu tentang perkara ini. Saya rasa ada sesuatu yang tak kena dengan Mak Midah dan perniagaan keluarga Pak Ramli. Saya rasa sudah terkena buatan or…”
Belum habis Faizal menghabiskan kata Pak Ramli sudah memotong ayatnya kerana boleh mengagak ayat Faizal seterusnya, “Kenapa kamu fikir macam tu Faizal?”
“Saya harap Pak Ramli tak berkecil hati. Tapi sebaiknya Pak Ramli bawalah Mak Midah pergi berubat. Kalau tidak betul, syukurlah. Keluarga Pak Ramli boleh berjaga-jaga. Tapi kalau betul, eloklah biarkan Mak Midah berubat sehingga sembuh. Pak Ramli juga bilal di surau kan, saya pasti Pak Ramli percaya perkara ini juga wujud dalam agama kita.”
Faizal menyambung bicara sambil tangannya mengusap lembut bahu Pak Ramli menghilangkan gusar di hati lelaki tua yang hampir sebaya dengan ayahnya itu, “Saya perasan ada yang tak kena dengan perniagaan keluarga Pak Ramli. Minggu lepas ramai yang datang nak membeli, tapi rata-rata kami tengok warung ini tutup. Bila ditanyakan kepada Mak Midah, dia kata warung buka macam biasa. Minggu ini pula, kuih celorot yang saya beli basi, berlendir dan berulat. Ini, gambar yang Asri hantar kepada saya tadi. Cuba Pak Ramli tengok tangan Mak Milah dalam gambar ni.”
Pak Ramli mengurut dada sebaik sahaja melihat gambar yang ditunjuk oleh Faizal, “Sejak Mak Midah sering mengadu sakit, aku tak terfikir pula tentang sihir ni semua. Aku ingatkan kerana cuaca yang tak menentu, tapi selepas dibawa berjumpa doktor aku perasan juga sakitnya tidak berkurang. Malah semakin menjadi pening kepalanya. Siapalah yang dengki dengan keluarga aku ni Faizal?”
“Sekarang kita tak payah fikir siapa yang dengki tu semua, Pak Ramli. Cadangan saya, lebih baik Pak Ramli cari mana-mana ustaz yang boleh merawat sihir ni. Daripada keadaan semakin teruk, lebih baik bertindak segera.”
Sudah dua tahun peristiwa itu berlalu, selama itu jugalah warung kuih celorot Mak Midah tutup. Selama setahun Mak Midah dibawa anaknya yang bertugas sebagai guru berubat dan tinggal bersama di Ipoh, Perak. Setahun selepas itu, Mak Midah pulang semula ke kampung halaman. Pernah Faizal datang melawat ke rumah keluarga Pak Ramli sekembalinya mereka dari tanah Semenanjung, menurutnya mereka mahu berehat daripada berniaga sementara waktu. Itu permintaan anak-anak. Kata Pak Ramli lagi, ustaz yang mengubati Mak Midah memberitahu isterinya disihir oleh orang yang dengki dengan perniagaan mereka yang laris. Ustaz tidak mahu memberitahu angkara siapa agar tidak timbul rasa benci sehingga mahu membalas dendam.
“Abang tak tahulah dik, Mak Midah nak atau tak untuk ditemu bual, lagi-lagi jika berkaitan dengan kuih celorot selepas dua tahun berhenti berniaga. Berhenti pula angkara dengki dan sihir.” Faizal mengeluh perlahan selepas mendengar permintaan Syahir yang sedang belajar dalam jurusan komunikasi untuk menemu bual Mak Midah tentang cara membuat kuih celorot demi menyiapkan projek tahun akhirnya.
“Abang tolonglah tanyakan. Masa Syahir tunjuk draf projek kepada penyelia, dia suka dengan idea tersebut dan tak sabar nak tunggu hasilnya. Syahir tertarik untuk memperkenalkan budaya kita kepada orang luar, kuih celorotlah salah satunya. Apatah lagi kita memang tergila-gilakan kuih celorot Mak Midah tu sejak kecil lagi.”
“Nantilah abang tanyakan. Tapi abang tak janji tau. Kalau Mak Midah tak mahu, kau usahalah cari tajuk lain untuk projek tu.”
Selepas berkali-kali dipujuk dan dirayu, Mak Midah yang pada mulanya keberatan untuk menerima pelawaan ditemu bual oleh Syahir akhirnya berlembut hati. Dengan niat mahu membantu anak muda di kampungnya yang dia sudah anggap seperti anak sendiri menyiapkan tugasan dan seterusnya dapat bergraduat dengan cemerlang.
“Terima kasih Mak Midah sudi menerima pelawaan saya untuk ditemu bual. Saya terhutang budi sangat, Mak Midah sudi membantu memudahkan urusan saya. Maaf jika menyusahkan.” ramah Syahir memulakan perbualan.
“Mak Midah ikhlas membantu, tak ada yang menyusahkan pun. Mak Midah juga adakalanya rindu nak membuat kuih celorot ni, tapi belum bersedia untuk berniaga semula. Bila menerima pelawaan Syahir bolehlah mengubat rindu Mak Midah. Katanya nak buat rakaman sekali cara Mak Midah membuat kuih celorot kan? Marilah kita ke dapur.” Mak Midah membawa Syahir menuju ke dapur.
Selepas Syahir selesai menetapkan kedudukan kamera dan mengatur penataan cahaya, Mak Midah menyusun bahan-bahan untuk membuat kuih celorot di atas meja bagi memudahkan Syahir merakam setiap satu. “Resepi yang Mak Midah kongsikan hari ini cukup untuk menyiapkan 50 biji kuih celorot. Kita perlukan daun nipah secukupnya, 500-gram tepung gandum, satu setengah cawan tepung pulut, satu kotak sederhana santan, satu setengah cawan gula apong, setengah cawan gula pasir dan sedikit garam halus. Gula pasir ni terpulang pada citarasa masing-masing, jika tak suka manis tak letak pun tak apa sebab kita dah dapat manis dari gula apong.”
“Ok, cut! Kita rakam untuk babak seterusnya pula ya, Mak Midah. Cara membuatnya pula. Mak Midah sudah bersedia?” Syahir membetulkan tetapan lensa kameranya untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas dan baik.
Mak Midah mengangguk dan memulakan langkah seterusnya selepas mendapat isyarat daripada Syahir, “Untuk membuatnya, mula-mula sekali kita perlu ayak tepung gandum dan tepung pulut bersama. Hal ini adalah supaya kita boleh mengelakkan tepung kita daripada bergumpal dan berketul ketika adunan dibancuh. Selepas siap diayak, kita boleh masukkan santan ke dalam adunan tepung. Kacau sehingga sebati dan mesti pastikan betul-betul tidak ada tepung yang berketul di dalam adunan.”
Dalam diam Syahir terpegun memerhatikan tangan Mak Midah yang ligat mengaduk adunan di dalam besen, masih mahir walaupun sudah dua tahun lebih berehat. Langsung tidak kelihatan kekok.
“Kemudian, masukkan gula pasir bersama secubit dua garam dan gaul sehingga sebati. Garam ni pun pilihan juga, tak nak letak pun tak apa. Mak Midah saja letak sebab nak bagi kuih celorot kita lemak lebih sikit. Sementara itu dalam bekas yang lain…” Mak Midah mencapai besen yang kedua di atas meja dan menghala sedikit ke arah kamera Syahir bagi menunjukkan proses seterusnya.
“…kita cairkan gula apong dengan air suam. Tipsnya kita perlu pastikan gula apong yang digunakan masih baru dan segar. Jika menggunakan gula apong yang sudah lama, akan menganggu rasa kuih celorot.” Mak Midah berkongsi salah satu rahsia untuk menjamin kesedapan kuih celorot yang dihasilkan. “Gula apong yang siap dibancuh ini kita tuang ke dalam bekas yang berisi tepung dan santan tadi. Tambah lagi air suam supaya bancuhan tidak terlalu pekat. Selepas itu, kita perlu tapis untuk memastikan betul-betul tidak ada tepung atau gula apong yang berketul dalam adunan. Selesai menapis, kita biarkan sebentar sementara kita menyusun daun nipah di dalam periuk pengukus.”
Syahir menghala lensa kamera di sebelah kiri dapur, menunjukkan periuk pengukus Mak Midah yang sudah hampir penuh diisi dengan daun nipah yang disusun secara menegak di dalam acuan kek yang berbentuk segi empat.
“Bila air pengukus sudah mendidih, kita boleh mula mengisi bancuhan tadi ke dalam daun nipah. Kira-kira selepas satu jam, insya Allah masaklah kuih kita ini. Satu lagi, penutup periuk pengukus ni kita mesti tutup dengan kain tuala yang menyerap air agar air dari wap pengukus tidak masuk ke dalam kuih celorot.” Ujar Mak Midah sambil mengikat ketat tuala pada penutup periuk sebelum meletakkannya di atas penutup.
Selepas satu jam, kuih celorot sudah siap dimasak dan Mak Midah mengeluarkannya daripada pengukus. Mak Midah menyusun kuih celorot di atas piring kecil bersama secawan air teh O untuk tatapan lensa kamera Syahir bagi babak yang terakhir.
Selepas menyimpan kamera di dalam beg, Syahir mencapai sebiji celorot selepas dipelawa oleh Mak Midah, “Ya Allah, rindunya saya dengan kuih celorot Mak Midah ni. Bayangkanlah sudah dua tahun tidak merasanya. Saya ni dah macam perantau Mak Midah, masa lebih banyak dihabiskan di negeri orang demi menuntut ilmu. Kalau balik pun, pada penghujung Ramadan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga. Tapi sudah dua kali Ramadan saya tak dapat rasa kuih celorot Mak Midah. Mujur Mak Midah sudi terima permintaan saya untuk ditemu bual, dapatlah juga merasa kuih celorot ni.”
Mak Midah menghadiahkan senyuman kepada Syahir, “Kalau kamu rindu dengan kuih celorot Mak Midah, apatah lagi Mak Midah sendiri. Rindu sangat nak berniaga semula, itulah mata pencarian Mak Midah sekeluarga. Walaupun bila anak-anak dah besar dan boleh membantu keluarga, Mak Midah tetap berniaga sebab minat dan seronok memenuhi permintaan orang lain yang meminati produk jualan kita. Insya Allah bila betul-betul bersedia nanti, Mak Midah akan berniaga semula.”
“Kalau Mak Midah tak berniaga selalu macam sebelum ini pun tak apa, Mak Midah berniaga pada bulan Ramadan sahaja macam dulu pun jadilah bagi mengubati kerinduan orang terhadap kuih celorot Mak Midah. Rasa seperti hilang serinya ketika berbuka, tanpa kuih celorot Mak Midah sebagai hidangan tambahan pencuci mulut.” Syahir memberi cadangan dan terus memujuk Mak Midah.
“Insya Allah, Syahir doakan Mak Midah sihat selalu, ya. Boleh mula berniaga balik macam dulu. Nah, makan lagi kuih celorot ni. Nanti tak adalah asyik rindu saja.” Mak Midah meletakkan dua biji kuih celorot di atas pinggan Syahir.