SIBU: Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Rajang dan Igan melahirkan perasaan tidak berpuas hati mereka terhadap pembinaan stesen pam, fasa keempat Projek Tebatan Banjir Sibu.
Menurut Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing, beliau telah menerima banyak aduan dari penduduk yang rata-ratanya bimbang jumlah air yang akan dipam keluar dari stesen itu kelak akan menjejaskan kawasan penempatan mereka.
“Dengan keadaan dasar Sungai Rajang dan Igan yang semakin cetek angkara aktiviti manusia di bahagian hulu, mereka bimbang kedua-dua sungai berkenaan tidak mampu menampung jumlah air yang dipam keluar dari stesen pam tersebut,” jelasnya menerusi satu kenyataannya semalam.
Duta Khas Kepada Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu turut memberitahu, penduduk turut merasa terkilan berikutan keengganan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melakukan tinjauan dan kajian mendalam bagi menyelesaikan isu banjir berterusan di Sibu.
Tegasnya, kajian dan tinjauan perlu dilakukan apatah lagi dasar Sungai Rajang dan Igan belum pernah dikorek sejak lebih dari 60 tahun serta menyebabkan banyak kawasan terutamanya kawasan rendah sering kali dinaki air.
“Justeru itu, kita perlu mengenal pasti kawasan mana yang terjejas teruk dan bagaimana masalah banjir dapat diatasi dengan berkesan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, dengan hanya bergantung pada data dan maklumat yang tidak mencukupi dalam memutuskan rancangan pembinaan projek tebatan banjir tidak akan membawa kepada penyelesaian jangka panjang yang berkesan.
“Selain itu, keadaan lebar dan kedalaman sungai yang turut berubah (jika projek diteruskan) turut menyukarkan laluan bagi pengangkutan sungai seperti kapal pengangkut,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, kerja-kerja mengorek pasir dan mendalamkan yang dilakukan di Pulau Kerto sebelum ini juga belum pasti dapat dilaksanakan.
“Lebih baik membiarkan kerja-kerja tinjauan diselesaikan terlebih dahulu untuk menghasilkan keputusan yang efektif,” ujar beliau.
Tiong turut memberitahu bahawa Sungai Rajang juga merupakan lokasi untuk melepas air Empangan Bakun dan Empangan Baleh jika perlu pada masa yang akan datang.
“Oleh itu, sangat penting bagi kita untuk memastikan Sungai Rajang dapat menampung air banjir seperti yang diharapkan,” kata beliau.
Oleh Akun Giman