BANGKOK: Rakyat keluar mengundi hari ini bagi pemilihan Gabenor Bangkok pertama dalam tempoh hampir sedekad dengan undian itu dilihat sebagai petunjuk undi nasional yang dijangka dalam tempoh setahun.
Kira-kira empat juta orang layak mengundi dalam tinjauan pertama sejak protes jalanan secara besar-besaran diketuai belia di Thailand pada 2020 menuntut perubahan politik dan pembaharuan kepada monarki yang tidak pernah disentuh.
Bagaimanapun, kehidupan seharian dan bukannya politik mendominasi kempen calon dengan pesaing utama berjanji untuk membersihkan megapolis yang sesak, tercemar dan bising yang mempunyai 10 juta penduduk.
Pusat mengundi dibuka di seluruh Bangkok pada jam 8 pagi waktu tempatan dan ditutup jam 5 petang, dengan pemeriksaan suhu serta peraturan COVID-19 di setiap pusat mengundi.
“Saya tidak teruja dengan pilihan raya. Ia tidak akan mengubah Bangkok, tetapi saya mengundi seseorang yang saya fikir boleh mengubah Bangkok walaupun sedikit. Saya berharap calon ini akan membuat sedikit perubahan,” kata pemuda berusia 28 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nat selepas mengundi.
Seramai 30 calon bertanding untuk jawatan tertinggi selepas rampasan kuasa pada 2014 menyaksikan pilihan raya tempatan dibatalkan dan bandar itu dikendalikan oleh pemimpin yang dilantik kerajaan.
Penganalisis politik, Thitinan Pongsudhirak dari Universiti Chulalongkorn, berkata keputusan itu akan memberi sedikit gambar mengenai kesanggupan ibu negara untuk menyokong calon pertubuhan diraja dan tentera yang mendominasi politik Thailand.
“Bangkok bukan Thailand, tetapi pemilihan Gabenor Bangkok kali ini akan menjadi penamat kepada pilihan raya yang lebih besar akan datang,” katanya. – AFP