MIRI: Keputusan Kerajaan Sarawak untuk mengehadkan pergerakan perjalanan antara zon di negeri adalah langkah yang tepat untuk mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini khususnya di bandar raya Kuching yang kini diisytiharkan sebagai Zon Merah.
Peniaga, Yong Siew Ling,berkata, kerajaan mengambil pendekatan yang betul dan membuat keputusan tepat untuk mencegah penularan wabak itu di kawasan Zon Hijau.
“Apabila pergerakkan dihadkan, maka individu yang tinggal di Zon Merah tidak digalakkan melakukan perjalanan rentas daerah sekiranya tiada urusan penting.
“Ini amat penting kerana kita tidak pasti mereka (individu dari Zon Merah) dijangkiti atau tidak sekiranya mereka bergerak dari Zon Merah ke Zon Hijau.
“Justeru, kita berharap mereka di Zon Merah mematuhi arahan kerajaan, bersama-sama kita cegah penularan wabak ini,” katanya.
Manakala, seorang pekerja swasta, Chu Chat San, berharap mereka di Zon Merah supaya sentiasa berhati-hati apabila keluar rumah dan sentiasa amalkan penjarakan sosial, pakai topeng muka, sentiasa bersihkan tangan dan kalau boleh kurangkan aktiviti di luar rumah.
Katanya, itu penting bagi memastikan tiada peningkatan kes Covid-19 di Zon Merah.
“Bagi mereka di Zon Hijau seperti Miri ini, jangan kita berkunjung ke kawasan Zon Merah buat masa ini. Itu lebih baik supaya kita tidak terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19,” katanya.
Semalam, Jawatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengumumkan bahawa pergerakan perjalanan antara zon kuning atau merah dan zon hijau di Sarawak, akan dihadkan bermula dari 1 hingga 14 Ogos, sebagai langkah mengekang penularan Covid-19 di negeri ini.
Had pergerakan perjalanan itu melibatkan dua zon iaitu zon satu (zon kuning atau merah) termasuk Bahagian Kuching, Serian dan Samarahan, sementara zon dua (zon hijau) merangkumi Bahagian Seri Aman, Betong, Sarikei, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.
Oleh Liong Chai Ling