Rakyat Sarawak mesti berani pertahan hak, kepentingan negeri – Abdullah Saidol 

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Rakyat Sarawak mesti terus berani mempertahankan hak dan kepentingan negeri, selain bekerja dengan tekun dan berintegriti untuk membina masa depan Sarawak yang lebih makmur dan sejahtera.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, rakyat Sarawak juga perlu terus berwawasan dan tidak berputus asa meskipun masih terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki bersama.

“Siapa yang berani menjanjikan kesempurnaan dalam semua urusan kita di dunia ini? Tetapi kita mesti berani menjanjikan kesungguhan.

“Kesungguhan kita untuk bekerja membina Sarawak ke arah wilayah yang lebih makmur, aman, sejahtera dan mempunyai keharmonian kaum,” katanya.

 DATUKAbdullah Saidol menyampaikan perutusan sempena sambutan Hari Sarawak yang akan diraikan pada 22 Julai ini.  Foto tangkap layar video UKAS 

Abdullah berkata, perjalanan Sarawak sepanjang 63 tahun lalu menyaksikan negeri ini melalui pelbagai detik sukar dan mencabar, namun rakyatnya terus bangkit untuk bergerak ke hadapan dan membina kejayaan.

Menurutnya, rakyat perlu belajar daripada kesilapan dan kegagalan sebelum bangkit semula untuk terus menyumbang kepada pembangunan diri dan masyarakat.

“Saya anak Sarawak. Saya dilahirkan di Bumi Kenyalang ini dan saya semakin bangga memperkenalkan diri sebagai anak Sarawak kerana banyak sebabnya.

“Saya mahu melihat anak-anak Sarawak terus maju dalam pelbagai bidang, termasuk di universiti dan sekolah, tanpa perlu terlalu bergantung kepada bantuan dari luar,” ujarnya.

Beliau berkata, pendidikan, kemahiran teknologi dan pembangunan masyarakat penting dalam membina keupayaan anak-anak Sarawak supaya mereka mampu berdiri dengan kekuatan sendiri.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, keamanan, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati Sarawak hari ini adalah hasil usaha pemimpin terdahulu, warga perkhidmatan awam serta seluruh rakyat di bandar dan luar bandar.

“Kita mesti berani berjanji untuk kekal berani mempertahankan hak dan kepentingan kita sebagai anak Sarawak.

“Masih banyak kekurangan yang boleh kita baiki bersama. Tetapi jangan berputus asa. Kita mesti kekal berwawasan,” tambahnya.

Beliau berkata, misi bersama rakyat Sarawak adalah untuk membina anak-anak dan bumi Sarawak yang cemerlang serta menjadi antara yang terbaik di Malaysia.

Abdullah turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak kepada seluruh anak Sarawak di mana sahaja mereka berada.