
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengingatkan rakyat negeri ini agar sentiasa menjaga keselamatan dan kebajikan pelancong yang berkunjung ke Sarawak bagi mengekalkan imej negeri sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan mesra.
Beliau berkata, sebarang kejadian tidak diingini seperti jenayah, gangguan atau kecederaan terhadap pelancong boleh memberi kesan buruk kepada industri pelancongan, khususnya apabila isu sedemikian tular di media massa.
“Dalam industri pelancongan, persepsi sangat penting. Kalau pelancong merasa takut atau khuatir untuk datang kerana pernah dengar kes-kes jenayah, itu boleh menjejaskan jumlah kedatangan,” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui di ditemui pada majlis perasmian Regata Sarawak dan Festival Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2025 di Tebingan Kuching, hari ini.

Menurut Abdul Karim, situasi di beberapa negara seperti Thailand yang kini berdepan isu keselamatan melibatkan pelancong asing termasuk dari China, perlu dijadikan pengajaran agar perkara sama tidak berlaku di Sarawak.
“Thailand kini mengalami sedikit cabaran selepas berlaku beberapa insiden jenayah melibatkan pelancong dari China.
” Itu menyebabkan pelancong berasa khuatir untuk ke sana. Kita tidak mahu situasi begitu berlaku di sini,” tegasnya.
Justeru, beliau menggesa masyarakat setempat agar memainkan peranan dengan bersikap mesra, membantu dan tidak mengambil kesempatan terhadap pelancong yang datang ke negeri ini.
“Pastikan pelancong yang datang ke Sarawak dilayan dengan baik, tidak diusik, dicederakan atau dirompak. Kita mahu mereka balik dengan pengalaman yang baik dan berkongsi cerita positif tentang Sarawak,” katanya.
Abdul Karim turut menegaskan bahawa imej dan reputasi yang baik akan menjadi aset utama dalam menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini pada masa depan.
Oleh Shahrul Qaizat