
PETRA JAYA: Rakyat Sarawak yang berada di rantau Asia Barat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa susulan konflik yang sedang berlaku di beberapa negara di rantau berkenaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, mereka yang berada di negara-negara yang terlibat khususnya perlu mengambil langkah berjaga-jaga serta mendapatkan maklumat rasmi daripada kerajaan masing-masing dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan diri sentiasa terpelihara.
“Seperti yang saya maklumkan, ketika ini berlaku peperangan di Asia Barat yang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran serta beberapa negara lain di Teluk.
“Justeru, kita ingin menyampaikan kepada rakyat Sarawak dan juga rakyat Malaysia yang masih berada di negara-negara Teluk agar mereka berhati-hati, berjaga-jaga dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada kerajaan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada program pengagihan bubur pedas dan bubur lambuk anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Kampung Surabaya, hari ini.
Menurutnya, rakyat Malaysia di negara berkenaan perlu sentiasa peka terhadap pengumuman rasmi pihak berkuasa tempatan selain memastikan komunikasi dengan ahli keluarga sentiasa terjalin.
“Anak saya sendiri bekerja di Doha sudah empat tahun dan beliau sentiasa menghantar maklumat kepada saya setiap setengah jam mengenai keadaan semasa di sana.
“Kerajaan Qatar juga sentiasa menyalurkan maklumat kepada rakyat melalui media sosial dan televisyen,” ujarnya.
Tambah beliau, semua pihak perlu berdoa agar konflik berkenaan dapat dihentikan segera dan keadaan kembali stabil demi keselamatan rakyat yang berada di rantau tersebut.
Oleh Shahrul Qaizat