
KUCHING: Langkah kerajaan memperluas kategori barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) disambut baik oleh rakyat, khususnya penerima manfaat bantuan tersebut.
Terbaharu, barangan seperti sabun, pencuci pakaian, dan pinggan mangkuk telah dimasukkan dalam senarai barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan SARA. Penambahan ini dilihat mampu meringankan beban kos sara hidup harian rakyat berpendapatan rendah.
Menurut seorang penerima bantuan, Theresa, langkah ini amat dialu-alukan kerana barangan kategori tersebut merupakan keperluan asas yang kerap digunakan dalam kehidupan seharian.
“Pada pendapat saya, sangat bersetuju jika dalam bantuan SARA, barangan seperti sabun, pencuci pakaian, dan pinggan mangkuk diberi lebih dalam penambahan kategori barangan beliannya.
“Ini adalah memandangkan penggunaan barangan kategori tersebut tinggi,” katanya.

Sementara itu, Nathaniel Milon, seorang pekerja swasta, turut menyokong langkah kerajaan itu dengan menyatakan bahawa ia memberi lebih banyak pilihan kepada keluarga berpendapatan rendah untuk mengurus keperluan asas mereka.
“Penambahan kategori bantuan SARA ini bagus kerana membantu keluarga untuk memberi lebih pilihan dan meningkatkan kualiti hidup.
“Ini juga memberi lebih fleksibiliti kepada penerima untuk memenuhi kepelbagaian keperluan harian mereka, terutamanya untuk golongan B40,” katanya.

Bagi Anastasia pula, yang juga merupakan pekerja swasta, penambahbaikan ini memberi kelegaan kepada ramai keluarga.
“Penambahan ini sangat membantu saya dan keluarga. Sedikit sebanyak, ia dapat meringankan beban perbelanjaan harian kami,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan semalam, berkata perluasan kategori barangan itu menjadikan kategori barangan berdaftar di bawah SARA meningkat kepada 14.
Barangan lain yang dibenarkan sebelum ini termasuk pelbagai barangan makanan asas, kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan akan terus menambah baik pelaksanaan program SARA dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan sama memaklumkan lebih 3.9 juta penerima SARA mula menggunakan MyKad untuk membeli barangan asas dari kedai yang berdaftar sepanjang April.
Menurut kenyataan itu, sambutan sangat menggalakkan apabila 72 peratus daripada jumlah 5.4 juta penerima SARA mula berbelanja menggunakan MyKad dalam bulan pertama pengkreditan SARA.
Dalam kenyataan itu turut memaklumkan penerima SARA telah ditingkatkan daripada 700,000 kepada 5.4 juta mulai April.
Pada masa sama, bilangan kedai runcit dan pasar raya berdaftar di bawah SARA juga telah mencecah lebih 3,700 buah di seluruh negara berbanding 700 tahun lepas, dan bilangan kedai runcit akan terus ditambah bagi memastikan terdapat kedai SARA yang berdekatan dengan tempat tinggal penerima.
Kementerian Kewangan juga memaklumkan dari segi prestasi pelaksanaan SARA hingga 29 April lepas, peratus tertinggi penerima yang telah membuat pembelian SARA melalui MyKad adalah di Sabah dengan 84 peratus, diikuti Perlis (82 peratus), Kedah (80 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (79 peratus) dan Kelantan (78 peratus).
Menurut kenyataan itu lagi, kadar maksimum SARA yang diterima tahun ini adalah hingga RM2,100 berbanding RM1,200 pada tahun lepas, yang merupakan peningkatan 75 peratus.
Pembelian SARA, ujarnya, boleh dibuat sepanjang tahun dan baki kadar atau kredit bulanan SARA akan dibawa ke bulan seterusnya hingga 31 Disember.
Amanda L. & Norman B.