Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Rakyat Sabah perlu pemikiran seperti orang Sarawak jika mahu politik stabil
  • KOLUMNIS

Rakyat Sabah perlu pemikiran seperti orang Sarawak jika mahu politik stabil

Utusan Sarawak 1 day ago

BARU-baru ini, tular video ungkapan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun yang menasihatkan rakyat negeri itu supaya memiliki pemikiran seperti orang Sarawak jika mahukan kestabilan politik seperti dinikmati Bumi Kenyalang sekarang.

Sambungnya lagi: “Kita sering membandingkan Sabah dengan Sarawak, tapi kalau kita mahu menjadi macam Sarawak, kita mesti ada pemikiran dan juga sikap macam orang Sarawak, utamakan kestabilan politik.

“Utamakan kesinambungan atau penerusan kepada usaha-usaha yang dibuat. Masalah Sabah ialah kerajaan sering berganti dan kita dapat lihat kalau di Sarawak, Ketua Menteri atau Premier baru yang keenam, Sabah sudah ada 16 Ketua Menteri.

“Ini sendiri cerminan berapa tidak stabilnya kedudukan politik dan kerajaan sering bertukar ganti.

“Jadi bila kerajaan sering bertukar-ganti, kita tidak ada masa dan gunakan masa untuk menumpukan perhatian kepada penyelesaian masalah asas di Sabah dan untuk meneruskan pembangunan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat sempena Persidangan Agung Tahunan parti itu, di Kota Kinabalu Sabtu lalu.

ABANG Johari (dua kiri) dan Hajiji (kiri) ketika berbincang dengan Anwar baru-baru ini. Foto FB Sarawakku.

Dalam kolum ini, penulis pernah menulis pada 15 Mei lalu atas tajuk ‘Sabah mesti kuat seperti Sarawak, untuk tuntut hak MA63’

Ini kerana dalam usaha Sarawak dan Sabah menuntut dikembalikan 35 peratus kerusi Parlimen untuk kedua-dua negeri ini seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sesuatu mesti dilakukan oleh rakyat Sabah.

Pertama, stabilkan politik Sabah seperti juga kekukuhan politik Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kedua, parti asal Sabah sendiri perlu kuat seperti mana Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Sarawak sebagai tulang belakang kepemimpinan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Ini kerana kestabilan politik di Sabah dan Sarawak akan memberi impak lebih kuat bukan sahaja ketika menuntut dikembalikan 35 peratus kerusi Parlimen, malah selepas itu bagi memastikan kerusi Parlimen tambahan nanti diwakili oleh parti yang memperjuangkan MA63 dan kepentingan Borneo.

Namun, bagi sesetengah pihak kenyataan seperti itu bersifat kewilayahan atau kenegerian. Hakikatnya tidak, kerana tindakan itu cuma menuntut hak seperti dijanjikan di bawah MA63, bukan merampas hak orang lain.

BUKAN ANTI-SEMENANJUNG

Malah rakyat Sarawak dan Sabah sebenarnya bukan bersikap anti-Semenanjung, dan tetap mahu bernaung di bawah negara bernama Malaysia. Bila berlaku ketidakadilan, maka suara sumbang kedengaran yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘melawan’, ‘anti’ dan sebagainya.

Ramai rakyat Sarawak dan Sabah bukan sahaja bekerja di Semenanjung, malah berkeluarga di sana. Begitu juga rakyat Semenanjung di Sarawak dan Sabah, ada yang tidak mahu balik ke negeri asal setelah ‘jatuh cinta’ terhadap negeri di Borneo.

Biarlah kita hidup berharmoni, saling menghormati dan saling membantu kerana kita hidup di bawah satu payung Malaysia.

Sabah bakal mengadakan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dan inilah peluang untuk rakyatnya membuat pemilihan tepat.

Menurut Masidi Manjun lagi, perkara remeh-temeh yang menjejaskan kestabilan politik perlu dihindarkan, sebaliknya memikirkan sekarang adalah masa yang penting ke arah kestabilan politik dan menghadapi PRN akan datang.

“Ini kadangkala masalahnya terlalu banyak ego dalam sistem politik kita. Semua mahu menjadi pemenang tetapi tidak ramai yang mahu bekerja dan ‘mengotorkan tangan mereka’

“Jadi, saya rasa apabila kita bercakap mengenai pemenang, bagi saya, politik Sabah harus ada menang-menang,” katanya.

TULAR video ungkapan Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun yang menasihatkan rakyat negeri itu supaya memiliki pemikiran seperti orang Sarawak jika mahukan kestabilan politik seperti dinikmati Bumi Kenyalang sekarang.

Masidi turut mengakui, bagi mencapai seperti Sarawak, satu-satunya masalah ialah untuk menyatukan parti tempatan.

Di Sarawak, Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah dominan dengan menguasai 79 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Baki dua lagi adalah DAP dan seorang Bebas.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada September tahun lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Sabah belum dapat mengikut jejak Sarawak untuk membentuk kerjasama politik yang hanya membabitkan parti tempatan bagi menghadapi PRN akan datang.

ISU MA63

Katanya, Sabah masih memerlukan kerjasama di antara parti tempatan melalui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan rakan parti nasional yang lain.

Ahad lalu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pula mendedahkan bahawa keputusan diambil GRS sebelum ini untuk beralih sokongan kepada Kerajaan Perpaduan adalah disebabkan sikap seorang ‘pemimpin besar’ di Kuala Lumpur yang didakwa tidak menyukai blok Borneo.

Menceritakan pertemuannya dengan pemimpin daripada Kerajaan Persekutuan yang lalu itu, Hajiji mendakwa, individu terbabit tidak mahu GRS berkongsi pengalaman dan cerita dengan Sarawak.

“Saya bersama Masidi (Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun) dan Jeffrey (Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan) ketika berjumpa seorang pemimpin besar di sana (Kuala Lumpur) suatu masa lalu, orang itu menyatakan mereka ialah ‘master’.

“Dia tidak suka blok Borneo… dia tidak mahu kita berkongsi pengalaman dan cerita dengan negeri jiran, Sarawak. Saya amat terkejut dengan kata-kata itu. Lama saya berfikir apa erti dan niat dia.

“Kata-kata itu menyebabkan hati saya terus tawar kepada mereka. Akhirnya setelah berfikir panjang, saya membuat keputusan untuk membawa GRS menyokong Kerajaan Perpaduan,” dakwanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Kota Kinabalu.

Apakah pendedahan itu menggambarkan sikap sesetengah pemimpin Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah dan Sarawak sebelum ini?

Pendedahan itu juga memberi gambaran seolah-olah mereka tidak ‘suka’ kepada pemimpin Sarawak yang mungkin kerana lantang menyuarakan isu MA63 dan kestabilan politik, sekali gus sukar untuk mereka ‘perbodohkan’, sebaliknya lebih suka seperti ‘kerbau dicucuk hidung?’.

Seterusnya, Hajiji berkata, GRS mendapat layanan baik daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang banyak mendengar suara Sabah.

“Alhamdulillah, Kerajaan Perpaduan bawah Perdana Menteri sekarang mendengar suara kita dan kita dilayan sebaiknya, syukur.

“Oleh itu, saya nyatakan sekali lagi bahawa GRS tetap menyokong Perdana Menteri hari ini. Banyak inisiatif dan tuntutan kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan Perdana Menteri.

“Sebelum itu, amat sukar mereka menurunkan kuasa atau lulus permintaan kita. Jadi apa yang kita harapkan lagi kalau Kerajaan Perpaduan baik untuk negeri kita, kenapa kita tidak sokong,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, beliau berkata, peristiwa itu berlaku sebelum pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu dalam ucapan penggulungannya juga, Hajiji sekali lagi menyatakan keyakinan GRS untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), dan berjanji akan mentadbir Sabah dengan sebaik mungkin jika diberikan mandat.

Dengan itu, jika Sabah benar mahu ikut macam Sarawak, gunakanlah peluang membuat pemilihan bijak pada pilihan raya negeri tidak lama lagi.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak
Tags: Kadir Dikoh

Continue Reading

Previous: ‘Turun Anwar’: Strategi pembangkang dan dinamika politik semasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.