PUTRAJAYA: Tanggapan akan berlaku kekecohan dan huru-hara semalam apabila rakyat yang sekian lama berkurung di rumah “dibebaskan” ternyata meleset, terima kasih kepada seluruh anggota masyarakat kerana mampu membuat kawalan diri.
Malah, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui beliau sendiri membayangkan keadaan yang teruk itu akan berlaku pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) Selasa lepas.
“Bayangkan, setelah begitu lama di rumah tiba-tiba semalam dibebaskan. Tentulah keadaan jadi huru-hara kerana ramai akan keluar dan sebagainya, namun keadaan adalah sebaliknya,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini semalam.
Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, keadaan masih terkawal dengan majoriti rakyat termasuk pemilik premis perniagaan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ini menunjukkan norma-norma baharu itu telah mula diikuti dan jadi budaya rakyat kita. Seperti saya sebutkan, kawalan kendiri ini yang amat penting bagi kita untuk menjaga kepentingan kesihatan kita, nampaknya sedang diamalkan rakyat kita,” katanya.
Beliau juga berkata, tinjauan yang dilakukan terhadap pengangkutan awam seperti MRT dan LRT mendapati penumpang mengamalkan jarakan sosial serta mengenakan pelitup separuh muka.
Ismail Sabri turut menghargai aduan awam yang menularkan klip video dan gambar premis yang tidak mematuhi SOP, namun katanya orang ramai juga perlu menyemak kesahihan maklumat yang ditularkan agar tidak terbabit dalam penyebaran berita palsu.
Setakat Selasa lepas, sebanyak 259 kertas siasatan berkaitan berita palsu Covid-19 telah dibuka, katanya.
Mengenai permintaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) agar kerajaan mengkaji semula arahan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja asing, Ismail Sabri berkata arahan itu bagi menangani kebimbangan akan wujud kluster baharu dalam kalangan golongan tersebut susulan peningkatan kes positif membabitkan pekerja asing di tapak pembinaan.
“Ini untuk mencegah kerana kita tidak mahu berlaku seperti di Singapura yang selama ini agak mendatar kes positif Covid-19 mereka, tetapi kerana ada kluster warga asing akhirnya graf Covid-19 mereka mendadak tinggi. Kita tidak mahu itu berlaku kepada negara kita,” katanya.
Katanya, arahan itu juga demi kebaikan kepada pengusaha sendiri yang tidak perlu berdepan kemungkinan premis perniagaan mereka ditutup sekiranya ada pekerja mereka didapati positif Covid-19.
Ismail Sabri berkata, untuk permulaan aktiviti saringan akan bertumpu kepada pekerja tapak pembinaan di sekitar ibu negara dan Selangor, seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan.
Selain itu katanya, kira-kira 60 peratus pekerja asing berdaftar adalah pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan kos saringan akan ditanggung oleh pertubuhan tersebut.
Selasa lepas MEF dilaporkan berkata, pihak majikan terpaksa menanggung kos kira-kira RM1.15 bilion jika perlu menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja asing yang berdaftar dengan mereka, sekali gus menambah beban majikan yang telah mengalami situasi sukar. – BERNAMA