KUCHING: Rakyat Malaysia (termasuk rakyat Sarawak) yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan masuk ke Sarawak bermula 1 September ini tidak perlu menjalani kuarantin lagi.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagaimanapun mereka dikehendaki untuk mengisi E-Health Declaration Form (E-HDF) kerana di setiap pintu kemasukan kerana ia amat penting.
“Ini bermakna, mereka boleh keluar dan masuk Sarawak seperti biasa dan tidak perlu memohon permit dan juga tidak akan menjalani kuarantin walaupun untuk tempoh yang lama.
“Namun, semua kemasukan ke Sarawak melalui jalan udara, darat dan laut akan dilakukan ujian Covid-19 secara rawak.
“Bermakna kalau 100 datang, 10 orang akan menjalani ujian rawak dan ia adalah sangat rawak,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Uggah berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan Kabinet Negeri juga bersetuju untuk semua warganegara Malaysia (termasuk rakyat Sarawak) yang balik dari luar negara akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan Kerajaan Sarawak.
“Ujian Covid-19 akan diambil dua kali iaitu pada hari kedua dan ke-10 dengan kos penginapan kuarantin dan kos ujian Covid-19 untuk rakyat Sarawak akan dibayar oleh Kerajaan Sarawak.
“Manakala, bagi bukan rakyat Sarawak (Semenanjung, Sabah, Labuan dan Bukan Warganegara), mereka akan membayar sendiri kos kuarantin dan kos ujian Covid-19,” jelasnya.
Tambah Uggah, beliau turut mengambil maklum bahawa dalam beberapa minggu lepas ada kes rakyat yang balik dari luar negara tidak berapa setuju untuk menjalani kuarantin wajib 14 hari.
“Mereka memohon keluar lebih awal, tetapi kita tidak boleh tunduk kepada pemohonan itu melainkan mereka ada sebab kesihatan kerana penting untuk kita menentukan bahawa sesiapa yang datang dari luar negara harus dikuarantin selama 14 hari.
“Ini kerana kita melihat kes yang ada termasuk hari ini (semalam) adalah kes import, jadi saya memohon rakyat Sarawak yang balik dari luar negara tidak kira apa pangkat, tolong patuhi dan beri kerjasama.
“Ini penting untuk kita menentukan penularan Covid-19 dapat dibendung sekurang-kurangnya dari kes import,” tambahnya.