
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang memantau rapi situasi semasa susulan amaran tsunami yang dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun selepas gempa bumi kuat melanda di perairan Semenanjung Kamchatka, Rusia pada Rabu.
Dalam kenyataan media, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan bahawa setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat situasi berkenaan.
“Namun, semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan keselamatan pihak berkuasa tempatan dan mengikuti perkembangan terkini menerusi saluran rasmi,” menurut kenyataan Kementerian Luar.
Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melalui kawasan terjejas supaya mendaftar dengan kedutaan dan kekal berhubung bagi membolehkan bantuan disalurkan dengan segera sekiranya perlu.
Kementerian itu memaklumkan bahawa rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo, Jepun, atau melalui telefon di +81-3-3476-3840/kecemasan: +81-80-4322-3366 atau e-mel mwtokyo@kln.gov.my / consular.tyo@kln.gov.my.
Sebagai langkah berjaga-jaga tambahan, Wisma Putra juga memantau secara dekat kesan gempa bumi itu terhadap negara-negara lain yang menghadap Lautan Pasifik, termasuk Amerika Syarikat (terutamanya Hawaii), Mexico, pesisir timur China dan Filipina, memandangkan amaran tsunami dan langkah berjaga-jaga mungkin dikeluarkan di kawasan terbabit.
Jepun pada Rabu mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan pantai Pasifik negara itu selepas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda perairan Semenanjung Kamchatka, dengan ombak setinggi 50 sentimeter direkodkan di beberapa bahagian utara dan timur Jepun, lapor Agensi Berita Kyodo.
Agensi Meteorologi Jepun turut memberi amaran mengenai ombak tsunami setinggi antara satu hingga tiga meter boleh melanda kawasan dari Hokkaido di utara Jepun sehingga ke Wilayah Wakayama di barat dan Kepulauan Ogasawara di selatan. Amaran itu dijangka kekal berkuat kuasa sepanjang hari, menurut agensi itu.
Gempa bumi itu berlaku pada 8.24 pagi, kira-kira 120 kilometer ke timur-tenggara Petropavlovsk-Kamchatsky pada kedalaman kira-kira 20 kilometer, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Ombak tsunami setinggi empat meter turut dikesan di perairan tenggara Kamchatka, dengan beberapa individu dilaporkan cedera, menurut agensi berita TASS, Rusia.– Bernama