
MANILA, Filipina: Seorang rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina maut hari ini apabila sebuah helikopter terhempas di kawasan lapang kira-kira dua jam perjalanan di tenggara Manila.
Helikopter yang membawa lima individu, termasuk dua rakyat Malaysia, terhempas di kawasan berumput dalam sebuah kawasan perumahan di Pililla, pekan kecil di wilayah Rizal, sekitar 7.27 pagi (2327 GMT), menurut pihak berkuasa.
Pegawai polis wilayah Rizal, Ramjae Pangga, memberitahu AFP bahawa dua penumpang, seorang rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina terkorban dalam nahas itu.
Juruterbang pula mengalami kecederaan parah, kata Datuk Bandar Pililla, John Masinsin.
“Tiga mangsa yang terselamat masih dalam keadaan terkejut, terutama juruterbang,” katanya kepada AFP.
“Mereka kini dalam perjalanan ke sebuah hospital tertiari di Metro Manila atas permintaan keluarga masing-masing,” katanya sambil memuji juruterbang kerana berjaya mendaratkan pesawat itu di kawasan perumahan tanpa mencederakan orang awam.
Pangga menambah pendaratan kecemasan itu terpaksa dilakukan kerana enjin helikopter hampir terhenti.
Siasatan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Filipina sedang dijalankan. – AFP