DATO Sri Alexander Nanta Linggi.
KUCHING: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu akan memastikan negeri yang terletak di selatan tanah air membentuk kerajaan negeri lebih kukuh, stabil dan kondusif.
Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia lebih bermakna terutama kerana negara sedang menuju ke fasa endemik bermula 1 April seperti diumum Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ini penting dalam merancang arah tuju pembangunan dan pengurusan negeri terutama dalam meluluskan usul-usul penting di Dewan Undangan Negeri (DUN) kelak.
“Bagi rakyat Johor pula, mereka kini boleh mengharapkan urusan pentadbiran yang lebih lancar dan mantap oleh kerajaan negeri, demi kesejahteraan hidup dan pemulihan semula ekonomi, seiring negara menuju ke arah pasca covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Nanta berharap semua ahli politik selepas ini dapat memberi tumpuan terhadap segala usaha untuk membangunkan Johor serta memulihkan ekonomi negeri dan negara.
“Ahli politik pembangkang juga diharap dapat memainkan peranan semak dan imbang, seterusnya bersama-sama menggalas tanggungjawab mensejahterakan rakyat dan negara.
“Apapun, rakyat Johor sudah membuat pilihan dan semua pihak perlulah menghormati pilihan mereka.
“Marilah kita sama-sama mengenepikan perbezaan dan memberi tumpuan terhadap perkara yang lebih utama iaitu rakyat dan negara,” ujarnya.
Sabtu lalu BN menang selesa melebihi majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.
Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan berjaya memenangi 11 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO