KUCHING: Hari Sarawak mengingatkan beliau kepada Almarhum Tok Nan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu yang juga isteri mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem.
Sambutan yang diperkenalkan oleh Allahyarham suami beliau pada 2016 lalu ketika hayatnya kini terus diraikan oleh seluruh rakyat Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Kita sebagai rakyat Sarawak harus berbangga menjadi anak Sarawak,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Jamilah mengakui tiada satu pun negeri di Malaysia seistimewa Sarawak kerana memiliki hari perayaan tersendiri.
“Sarawak unik dengan pelbagai etnik dan kepelbagaian ini merupakan kekuatan rakyat Sarawak hingga menjadi sebutan dan contoh oleh masyarakat luar,” ujarnya.
Jamilah berharap perpaduan rakyat Sarawak yang sering menjadi sebutan dan menjadi kebanggaan anak Sarawak selama ini akan terus terpelihara untuk dihayati oleh generasi akan datang.
Pada masa yang sama Jamilah berharap hak Sarawak akan berjaya dikembalikan dan terpelihara daripada anasir luar.
“Biarpun tahun ini, tiada sambutan secara besar-besaran diadakan, namun marilah kita bersama-sama membantu kerajaan untuk memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” tegasnya.
Jamilah mengingati rakyat Sarawak perlu bersatu hati dan bekerjasama serta tidak leka terhadap keadaan semasa agar usaha kerajaan untuk menghapuskan pandemik Covid-19 yang tiba untuk gelombang ke-2 kali ini berjaya dilenyapkan seperti usaha sebelum ini.
“Kita Jaga Kita, Stay Safe, Stay At Home…Ingat! Patuhi SOP PKPP. Teruskan memakai mask, dan cuci tangan anda sekerap mungkin,
“Kita belum menang! KITA SAYANG SARAWAK Oooooohaaa!,” ujar Jamilah sambil mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak, semalam.
Mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017, dua minggu sebelum menyambut hari lahirnya ke-73 mengumumkan tarikh 22 Julai dipilih sempena kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan British.
Semasa pengumuman itu, Adenan mengakui Hari Sarawak bertujuan untuk mengingati jasa dan pengorbanan pemimpin dan pejuang kemerdekaan Sarawak.
Oleh Diyana Samsuddin