
LIMBANG: Rakyat digalak melibatkan diri dalam pelbagai bidang ekonomi, industri kecil dan sederhana dan menerokai potensi industri halal yang amat penting serta relevan di Sarawak.
Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, semangat ingin maju dan berjaya perlu ditanam dalam jiwa untuk bersaing dengan kaum-kaum berjaya lain.
Jelasnya, banyak kemudahan dan premis disediakan kerajaan kepada usahawan terutamanya di luar bandar yang masih belum mempunyai premis bagi memulakan perniagaan.

“Sistem perhubungan kita baik, kalau kita bersungguh-sungguh, kita akan berjaya kerana kita tidak mahu kita ini sentiasa dipandang rendah, Kalau bercakap soal kemiskinan kita tidak mahu ia berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Justeru kita harus belajar bersungguh-sungguh dan menerokai industri halal yang begitu penting, permintaan tinggi dan pasarannya luas,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Lembaga Amanah Kebajikan Islam Limbang (LAKIL) di Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang hari ini.
Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, kerajaan sentiasa komited untuk menjaga kepentingan masyarakat, selain berusaha untuk membangunkan negeri ini,rakyat turut digalak untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi.
Turut sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi dan ketua jabatan kerajaan lain.
Oleh Adeng Edrus