
KUALA LUMPUR: Proses rakaman lagu tema filem seram Telaga Suriram berjudul Sesal mengambil masa tidak sampai 30 minit, disampaikan oleh Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dengan sempurna.
Lagu berdurasi tiga minit itu merupakan ciptaan komposer Nurzaidi Abd Rahman dan mengangkat tema penderitaan serta dendam seorang ibu, selaras dengan naratif filem arahan Osman Ali berkenaan yang dijadual ditayangkan bermula 1 Mei ini.
Siti, berkata proses rakaman berjalan lancar kerana melodi dan lirik lagu mudah dihayati, lebih-lebih lagi mesejnya amat dekat dengan naluri keibuannya.
“Saya dengar melodi lagu memang mudah masuk, lirik pun senang difahami. Proses rakaman juga dibantu oleh penerangan daripada pencipta lagu dan produksi, jadi lebih mudah untuk saya menghayatinya.
“Oleh sebab saya sendiri dah bergelar ibu, perasaan seperti sesal dan sedih itu memang dapat dirasai. Alhamdulillah, proses rakaman dipermudahkan dan tidak mengambil masa yang lama,” katanya pada sidang media pelancaran OST dan video muzik filem tersebut di sini.
Menurut penyanyi tersohor itu, peluang menyanyikan lagu tema filem merupakan ruang untuk beliau terus menyumbang kepada industri muzik, selain memperkukuh legasi seninya.
“Bagi saya, menyanyikan lagu OST filem atau drama merupakan antara tiket untuk dikenali generasi baharu. Fenomena ini membantu penyanyi kekal relevan dengan sokongan kuat daripada peminat filem atau drama itu sendiri.
“Kalau drama ditayangkan berpuluh episod di televisyen, lagu tema akan terus dimainkan dan dikenali ramai. Filem juga begitu, bila sambutan luar biasa lagu akan terus hidup dalam ingatan penonton,” katanya.
Sementara itu, pengarah Osman Ali, berkata tiada penyanyi lain yang dapat menyampaikan emosi kehilangan seorang anak dengan lebih berkesan seperti Siti Nurhaliza.
“Saya amat berbesar hati apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza bersetuju menyanyikan lagu ini. Pemilihan lagu mengambil masa agak lama kerana perbincangan yang teliti, namun akhirnya kami berjaya hasilkan lagu terbaik untuk filem ini,” katanya.
Telaga Suriram berkisarkan kisah kehilangan seorang kanak-kanak yang dipercayai terjatuh ke dalam perigi, mengangkat elemen mistik dan kepercayaan masyarakat serta dilema seorang ibu yang dirundung penyesalan. – Bernama