
MIRI: Tindakan jijik seorang lelaki yang dipercayai merakam video seorang wanita di dalam tandas wanita di sebuah pasar raya di sini membawa padah apabila dia diberkas polis, petang semalam.
Suspek ditahan sekitar 2.00 petang di Lorong 8A, Permy Technology Park oleh sepasukan anggota Balai Polis Pusat Miri yang diketuai Ketua Polis Balai Miri, ASP Goldy Jangan.
Menurut hantaran Polis Daerah Miri di laman Facebook hari ini, lelaki tempatan itu kini direman dan ditahan di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 509 dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius perbuatan mencabul privasi dan keselamatan orang awam, khususnya wanita di tempat awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah seumpama ini,” menurut kenyataan itu.
Oleh Liong Chai Ling