KUCHING: Pasukan Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak mencipta sejarah dengan mempertahankan gelaran ‘Raja Sungai’ bagi kali ketiga berturut-turut dalam kategori Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki pada Regata Sarawak 2024.
Detik bersejarah itu tercipta apabila pasukan tersebut berjaya memecut pada saat terakhir di garisan penamat dengan catatan masa 7 minit 8 saat, menewaskan perahu Landas Azam Kasihnya Warisan di tempat kedua (7:09) dan Udak di tempat ketiga dengan masa (7:30).
Kejayaan ini menyaksikan Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak membawa pulang RM30,000 beserta piala Yang di-Pertua Negeri Sarawak, manakala Landas Azam Kasihnya Warisan menerima RM20,000 serta piala, sementara Udak memperoleh RM10,000 serta piala.
Regata Sarawak 2024 kali ini diserikan dengan kehadiran Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pengarah Yayasan Sarawak, Mersal Abang Rosli meluahkan perasaan gementarnya menjelang perlumbaan tersebut, namun berpuas hati apabila trofi kejuaraan berjaya dibawa pulang sekali lagi.
“Ini merupakan kali ketiga berturut-turut kami berjaya meraih gelaran ‘Raja Sungai’ ini.
“Mereka berusaha bersungguh-sungguh, merancang, berdoa dan bertawakal. Saya berpesan kepada mereka, usaha sudah dilakukan, selebihnya kita bertawakal dan InsyaAllah, hasilnya akan tercapai.
“Cabaran mempertahankan kejuaraan cukup besar, namun mereka berjaya mengatasinya dengan kaedah yang tersendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kekuatan fizikal pasukan yang terdiri daripada peserta muda berumur antara 17 hingga 25 tahun turut menjadi faktor utama dalam mengekalkan tenaga sepanjang perlumbaan.
Untuk rekod, kejayaan Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak kali ini mencatatkan rekod baharu apabila memenangi gelaran ‘Raja Sungai’ tiga tahun berturut-turut, satu pencapaian yang belum pernah dicapai dalam sejarah Regata Sarawak.
Menurut Mersal, pihak penganjur mungkin perlu menyediakan piala baharu kerana kejuaraan tersebut akan disimpan terus oleh pasukan mereka.
Pada masa sama, acara Perahu Kenyalang 20 Pekayuh Lelaki VIP (Terbuka) – Piala Premier Sarawak turut menjadi tumpuan ramai, menyaksikan pasukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Hamzah Brahim iaitu Udak muncul sebagai juara.
Pasukan Dato Sri Fadillah Yusof dan Datuk Sallehuddin Satar (Sinaran Ratu Siska) dinobatkan sebagai naib juara, diikuti pasukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di kedudukan ketiga.
Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak juga berjaya membolot tujuh acara lain, iaitu Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki Marathon Antarabangsa (3 kilometer) Terbuka; Perahu Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Terbuka) – Piala Petra Energy dan Perahu Bidar 15 Pekayuh Lelaki (Terbuka).
Selain itu, pasukan tersebut turut merangkul juara dalam acara Perahu Bidar 20 Pekayuh Lelaki (Tempatan) – Piala Petronas; Perahu Bidar 25 Pekayuh Lelaki (Terbuka); Perahu Bidar 25 Pekayuh Lelaki (Tempatan) – Piala Petros dan Perahu Bidar 30 Pekayuh Lelaki (Terbuka) – (Antarabangsa Borneo) Piala Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Oleh Mohd Neenatul Aizal dan Noor Ikmal