
KUCHING: Pertandingan Raja Singa Piala Lianxing edisi kedua bakal berlangsung pada 27 hingga 28 September ini di The Podium, menggabungkan tradisi dan moden serta menjadi pentas dialog budaya antara tempatan dan antarabangsa.
Seiring dengan temanya ‘Singa sebagai persembahan, tarian membentuk insan’, majlis simbolik penyerahan kepala singa warisan kepada Persatuan Wushu Lianxing telah diadakan sebagai tanda sokongan terhadap kesinambungan budaya dan warisan seni masyarakat.
Kepala singa yang dihasilkan dengan kemahiran turun-temurun lebih seratus tahun itu diserahkan sebagai lambang keberkatan dan semangat juang yang tidak pernah padam.
Majlis turut dirasmikan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, yang menyempurnakan upacara penyerahan kepala singa kepada remaja Sekolah Henry Gurney, Puncak Borneo.

Upacara tradisi itu diyakini dapat membina kekuatan rohani dan membangkitkan semangat baharu dalam kalangan remaja, selain memberi peluang untuk mereka mengenali nilai kerjasama, disiplin dan identiti diri melalui seni budaya.
Usaha ini bukan sekadar mengangkat warisan tarian singa sebagai simbol kekuatan, malah turut berperanan mendidik dan membimbing remaja membina semula kehidupan serta kembali ke pangkuan masyarakat dengan keyakinan baharu.
Pertandingan yang dijangka meriah ini akan menghimpunkan pasukan tarian singa dari pelbagai lokasi. Lebih daripada sekadar pertandingan, ia turut menjadi saksi kepada transformasi remaja yang menjadikan tarian singa sebagai simbol keberanian dan benteng jatidiri.
Oleh Norman B