ISTANBUL: Raja Norway Raja Harald V mangkat pada Jumaat pada usia 89 tahun, umum Istana Diraja, lapor Anadolu Ajansi.
Baginda “mangkat dengan tenang” di Hospital Kebangsaan di Oslo pada 6.35 pagi waktu tempatan (0435GMT), menurut pihak istana.
Bendera diraja di istana diturunkan separuh tiang susulan pengumuman itu.
Harald dimasukkan ke hospital pada 17 Ogos selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
Pihak istana kemudian mendedahkan bahawa baginda sedang menerima rawatan kortison bagi anemia hemolitik, sejenis gangguan darah yang menyebabkan pengumpulan cecair di dalam badan baginda.
Kesihatan baginda merosot selepas mengalami jangkitan bakteria dalam aliran darah, lapor penyiar awam Norway, NRK.
Putera Mahkota Haakon serta-merta menggantikan ayahandanya sebagai raja Norway menurut peraturan perlembagaan negara itu.
Kerajaan dijangka menghadap raja baharu itu dalam satu mesyuarat luar biasa Majlis Negara di Istana Diraja.
Nama diraja baginda akan diumumkan selepas mesyuarat tersebut.
Raja baharu itu juga dikehendaki di bawah Perlembagaan Norway untuk mengangkat sumpah di hadapan parlimen.
Norway tidak mengadakan upacara pertabalan. Harald menaiki takhta pada 17 Jan 1991, susulan kemangkatan ayahandanya, Raja Olav V, dan kekal sebagai ketua negara selama lebih 35 tahun.
Baginda merupakan raja yang paling lama memerintah di Eropah pada masa kemangkatan baginda. – Bernama-Anadolu





