Selepas Perang Dunia kedua, usaha untuk menyerah Sarawak kepada British semakain diperhebatkan. Usaha ini boleh dianggap sebagai Fait Accomplish kerana Raja Vyner Brooke dan British memang benar-benar inginkan penyerahan ini berlaku.
Bagi Raja Vyner Brooke usaha menyerahkan Sarawak disebabkan beberapa perkara.
Pertama adalah berkenaan dengan kesan kerosakan dan kemusnahan akibat perang di Sarawak. Bagi Raja Vyner Brooke kerosakan akibat perang ini tidak memungkin kerajaan Sarawak dapat memulihkan Sarawak pada keadaan sebelum perang.
Sehubungan dengan itu Raja Vyner Brooke menambah bahawa ia memerlukan bantuan kewangan banyak bagi membangunkan Sarawak. Beliau menambah bahawa kerajaan Sarawak tidak mempunyai dana kewangan untuk memulihkan Sarawak.
Kedua pula Raja Vyner Brooke tidak yakin kerajaan pimpinan Parti Buruh di London akan memberi bantuan kewangan kepada Sarawak untuk tujuan pemulihan Sarawak selagi dibawah pemerintahan Brooke.
Masalah Penganti
Ketiga pula beliau merasakan bahawa dirinya sudah lanjut usia dan tidak mampu lagi mentadbir Sarawak. Dalam hal ini beliau tidak yakin akan kemampuan anak buahnya Anthony Brooke untuk mengantikan beliau.
Sejak sebelum perang sehingga semasa perang, Anthony Brooke telah dua kali dipecat sebagai Raja Muda. Jika diselidiki dua sebab awal tersebut menampakkan pendapat Raja Vyner Brooke ini boleh disangkal. Ini kerana beliau memang mempunyai hasrat menyerah Sarawak kepada British sejak 1930an lagi.
Malahan kekurangan dana untuk membangunkan Sarawak ini sukar menjadi ukuran baik kerana hal ini tidak pernah menjadi persoalan dalam hubungan kerajaan Brooke dan British semasa perang.
Apa yang penting bagi British sebelum perang dan semasa perang ialah memperkenalkan dan pemakaian Foreign Jurisdiction Act di Sarawak. Hanya kemenangan Parti Buruh mengubah dasar British untuk mengambil terus Sarawak sebagai tanah jajahan.
Sikap Raja Vyner Brooke yang tidak percaya kepada Anthony Brooke memerintah Sarawak menimbulkan kemusykilan. Ini kerana Ranee Sylvia mempunyai niat menaikkan anak perempuannya menjadi pewaris takhta kerajaan Brooke.
Namun amalan ini bertentangan dengan adat masyarakat tempatan untuk merajakan seorang perempuan. Akibat halangan ini maka Anthony Brooke paling layak mewariskan takhta kerajaan setelah ayahnya Betram Brooke tidak sihat.
Apabila berlaku aduan tentang Anthony Brooke yang tidak acuh akan kehendak British, Raja Vyner Brooke mengambil peluang ini memecat beliau. Bermula dengan peristiwa ini Raja Vyner Brooke bertindak sendiri dan bertekad untuk terus menyerah Sarawak kepada British.
Pengumuman untuk menyerah Sarawak telah dibuat di House of Commons pada 6 Februari 1946. Dalam pengumuman ini dinyatakan bahawa Rajah Vyner Brooke tidak dipaksa melakukan penyerahan tersebut.
Lawatan MacBryan
Soal menyerah Sarawak kepada British tidak diketahui oleh rakyat Sarawak. Ramai daripada penduduk Sarawak mengalu-alukan kedatangan semula Raja Vyner Brooke ke Sarawak.
Sebaliknya Raja Vyner telah menghantar setiausaha sulitnya iaitu MacBryan ke Sarawak. Penghantaran ini merupakan usaha Raja Vyner Brooke mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Majlis Tertinggi. Namun demikian kehadiran MacBryan ini tidak menekan atau memaksa Datu-datu ini bersetuju dengan penyerahan.
Dari satu sudut sudah ada usaha pihak polis mengumpul maklumat tentang Datu-datu semasa perang. Dosir ini mungkin menjadi satu kad boleh digunakan keatas Datu-datu ini untuk bersetuju dengan kehendak kerajaan Brooke dan British seperti berlaku keatas Datu Patinggi Abang Abdillah.
Dalam lawatan ini, MacBryan telah berjumpa semua Datu-datu Melayu dalam majlis tertinggi dan Ong Tiang Swee. Dalam lawatan ini beliau meminta tandatangan daripada Datu-datu ini bagi mengesahkan penyerahan.
Pada masa sama MacBryan berjanji memberi wang tunai kepada Datu-datu ini, dan menyerahkan wang bernilai $42,500 kepada masyarakat Melayu dan Cina setiap satu menerusi Datu Pahlawan Abang Mustapha dan Ong Tiang Swee. Beliau juga menasihatkan pada Datu-datu ini untuk tidak berbincang hal ini dengan orang Barat.
Penolakan
Hanya Datu Patinggi Abang Abdillah sahaja yang menolak untuk menandatangani surat tersebut dan memulangkan wang diberi kepada tentera Australia.
Sementara itu tentera Australia tidak pula menjawab soalan yang dituju kepada mereka oleh Datu Patinggi Abang Abdillah. Datu-datu lain pula terpaksa menandatangani surat penyerahan kerana bimbang tentang keselamatan mereka jikalau tidak mengikut kehendak MacBryan.
Satu perkara agak pelik berlaku apabila MacBryan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi pada 5 Januari 1946. Dalam mesyuarat tersebut semua ahli majlis secara sebulat suara telah bersetuju tentang hal penyerahan ini. Sejauhmanakah kesahan keputusan ini mungkin boleh diperdalamkan lagi.
Pengisytiharaan Penyerahan
Sementara itu pada 6 Februari 1946 pula Raja Vyner Brooke mengisytiharkan bahawa Raja England bersetuju untuk cadangan penyerahan Sarawak kepada kerajaan British.
Dalam ucapan tentang pengisytihraan ini, Raja Vyner Brooke menekankan bahawa penyerahan ini adalah usaha untuk menyempurnakan hasrat Raja James Brooke sebelum ini. Beliau juga menafikan sebarang laporan yang menganggap kerajaan British bertindak untuk memperkenalkan Order Politik Baharu di Sarawak.
Beliau menambah bahawa penyerahan Sarawak ini adalah datang daripada keputusan beliau sendiri. Hasrat beliau untuk menyerahkan Sarawak ini adalah untuk memberi lebih pelindungan secara terus daripada kerajaan British ke atas Sarawak.
Beliau juga menambah bahawa penyerahan ini akan memberi hak tidak terkira dalam soal kebebasan rakyat Sarawak oleh kerajaan British. Kenyataan kedua beliau ini boleh diragui kerana British menggunakan sebarang usaha untuk mematikan kebebasan rakyat Sarawak dalam memprotes penyerahan tersebut.
Hal ini boleh dilihat dalam peraturan dan tindakan British menyekat gerakan anti penyerahan di Sarawak selepas peyerahan dilakukan.
Persoalan Penyerahan
Di London, usaha kerajaan Buruh untuk mengambil Sarawak mendapat reaksi daripada ahli-ahli Konservatif. Oliver Stanley dan beberapa ahli konservatif mempersoalkan tentang peranan MacBryan dan perlembagaan 1941.
Beliau juga menambah bahawa tindakan secara persendirian Rajah Vyner Brooke itu juga dipersoalkan.
Sementara itu muncul pula berita yang menjadi tajuk utama surat khabar Evening Standard pada 6 February 1946. Tajuk utama dalam surat khabar ini memaparkan ‘British Buys Sarawak. Rajah Hands It Over: £1,000,000 Fund.’ Berita ini membawa kepada tanggapan negatif usaha penyerahan ini, dan telah dinafikan oleh pihak kerajaan British dan kerajaan Brooke.
Berita sensasi dari London ini tidak sesekali mematikan usaha untuk penyerahan Sarawak ini. British dan Raja Vyner Brooke terus berusaha agar hasrat ini akan tercapai. Beberapa lagi langkah diusahakan agar penyerahan ini berjalan secara teratur dan sah.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.