
Raja Charles turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan penyelamat atas tindakan pantas. Foto AFP
LONDON: Raja Charles III meluahkan rasa terkejut dan sedih yang mendalam selepas puluhan peminat bola sepak cedera dalam kejadian ngeri apabila sebuah kereta merempuh orang ramai yang menyambut kejayaan Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris.
“Ia benar-benar menyayat hati apabila perayaan yang sepatutnya menjadi detik kegembiraan bertukar menjadi suasana penuh kedukaan,” titah baginda dalam satu kenyataan dari Kanada, tempat baginda dan Permaisuri Camilla sedang melakukan lawatan rasmi.
Perarakan kemenangan yang menarik kehadiran ratusan ribu penyokong di bandar barat laut England itu bertukar kecoh apabila sebuah kereta dipercayai dipandu laju merempuh lautan manusia di Water Street, menyebabkan 47 orang cedera, termasuk empat parah dan empat kanak-kanak turut terbabit salah seorang dalam keadaan serius.
Seorang lelaki berusia 53 tahun, berkulit putih dan warga Britain, ditahan dan pihak polis menegaskan kejadian itu tidak disiasat sebagai insiden keganasan.
Raja Charles turut mengucapkan penghargaan kepada pasukan penyelamat atas tindakan pantas mereka serta menyatakan keyakinan bahawa semangat kebersamaan warga Liverpool akan menjadi sumber kekuatan di saat sukar ini.
“Pada waktu penuh duka ini, saya yakin semangat komuniti yang cukup terkenal di Liverpool akan menjadi penguat dan penghibur buat mereka yang terkesan,” titah baginda.
Putera Mahkota Britain, Putera William dan isterinya Kate Middleton juga tampil mengucapkan rasa sedih mereka atas insiden itu.
“Kami amat sedih dengan kejadian di Liverpool. Fikiran kami bersama semua yang tercedera,” kata William, yang juga penaung kepada Persatuan Bola Sepak England dan peminat tegar sukan itu. – AFP