Rahsia susu ibu: Protein osteopontin perkasa sistem imun bayi

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

SYDNEY: Penyelidik di Australia menemui mekanisme bagaimana susu ibu membantu mengukuhkan sistem imun bayi menerusi protein yang dikenali sebagai osteopontin, selain mengenal pasti potensi untuk meniru kesan perlindungan tersebut dalam susu formula bayi, lapor Xinhua.

Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Cell itu menunjukkan bahawa osteopontin mencetuskan rangkaian isyarat biologi yang menyokong perkembangan sel imun dalam hati dan paru-paru bayi, sekali gus membantu melindungi mereka daripada jangkitan pernafasan yang berpotensi membawa maut, menurut kenyataan Institut Penyelidikan Perubatan QIMR Berghofer Australia yang dikeluarkan hari ini.

“Kami meneliti sel paru-paru bayi yang melapisi saluran pernafasan apabila osteopontin tidak hadir. Perbezaannya amat ketara,” kata Profesor Simon Phipps dari Makmal Imunologi Pernafasan QIMR Berghofer.

Penyelidik berkata, osteopontin yang terdapat pada paras tinggi dalam susu ibu pada minggu-minggu awal selepas kelahiran mempengaruhi komposisi mikrobiota bayi, sekali gus meningkatkan penghasilan metabolit bakteria yang mengaktifkan faktor pertumbuhan dalam hati dan paru-paru serta menguatkan sistem imun.

Pasukan penyelidik itu turut mendapati bahawa rosiglitazone, ubat yang digunakan untuk merawat diabetes jenis 2, mampu meniru kesan osteopontin dengan mengaktifkan mekanisme sokongan imun yang sama, sekali gus menghasilkan kesan perlindungan serupa terhadap jangkitan pernafasan dalam model praklinikal.

Penemuan itu membuka kemungkinan untuk membangunkan pendekatan baharu bagi menyokong perkembangan sistem imun bayi serta membantu menambah baik produk susu formula pada masa hadapan.

Walaupun sesetengah produk susu formula mengandungi osteopontin daripada susu lembu, kandungannya masih lebih rendah berbanding susu ibu.

Phipps berkata, kajian lanjut diperlukan bagi menentukan sama ada osteopontin turut berpotensi membantu mencegah penyakit alahan seperti ekzema dan asma. – Bernama