Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • RENCANA
  • Rahsia reda dalam derita
  • RENCANA

Rahsia reda dalam derita

Utusan Sarawak 21 hours ago
MYKAD atau Kad Pengenalan Pelbagai guna Kerajaan diperkenalkan pada 2001 sebagai satu daripada tujuh aplikasi perdana di bawah inisiatif Koridor Raya Multimedia, dengan objektif memodenkan sistem pengenalan diri rakyat, meningkatkan keselamatan identiti dan menyediakan satu platform digital yang menyepadukan pelbagai aplikasi dalam satu kad. Mengulas evolusi MyKad dalam tempoh lebih dua dekad usianya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias berkata setakat ini empat versi telah diperkenalkan dengan yang terakhir pada pada 2012. Bagaimanapun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir membangunkan MyKad versi terbaharu dengan ciri keselamatan dipertingkat. Menghuraikan maksud istilah MyKad, beliau berkata “My” merujuk nama Malaysia sementara “Kad” pula bererti kad akuan diri, dengan fungsi utama sebagai pengenalan diri semua rakyat Malaysia yang berstatus warganegara. Katanya, MyKad ini juga kesinambungan daripada sistem kad pengenalan negara, bermula dengan kad kertas (dari 1948 hingga 1960), (diikuti kad pengenalan plastik berwarna biru – 1960 hingga 1990), kemudian kad bunga raya (kad pengenalan bermutu tinggi – 1990 hingga 2001) dan kini (MyKad) diperkenalkan dalam bentuk lebih moden. Foto BERNAMA

KEHIDUPAN ini tidak akan sunyi dari ujian. Ada masanya kita diuji dengan kehilangan, kesakitan, kekecewaan atau kegagalan yang membuatkan kita terduduk dan tertanya-tanya sehingga melafaz: “Kenapa aku?”

Namun, dalam derita itulah tersembunyi rahsia yang besar. Bagi yang mampu melihat dengan mata hati, akan terasa bahawa derita bukan satu hukuman, tetapi jemputan untuk lebih dekat dengan Tuhan. Ia bukan satu kelemahan, tetapi peluang membina kekuatan jiwa dan minda.

Dalam menghadapi derita, salah satu kekuatan utama yang perlu dipupuk dalam diri kita ialah sifat reda. Reda bukan bermakna berputus asa, bukan juga pasrah membabi buta, tetapi sebuah penerimaan yang ikhlas bahawa Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita, lebih daripada apa yang kita sangka baik untuk diri sendiri.

Soalannya, bagaimana kita boleh mendidik jiwa untuk mencapai tahap reda dalam derita? Penulis cuba mengupas dengan menyelusuri akronim R.E.D.A sebagai jawapan yang mungkin boleh kita usahakan pada kapasiti masing-masing.

R – RELAKAN HATI DENGAN IKHLAS MENERIMA TAKDIR

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah SWT; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah SWT akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah SWT Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Taghabun: Ayat 11)

Langkah pertama menuju reda dalam diri kita adalah dengan relakan hati. Relakan di sini bukan menyerah kalah, tetapi meletakkan segala keluhan dan keraguan dalam genggaman kepercayaan kepada takdir Allah SWT. Setiap ujian yang hadir bukan kebetulan. Ia adalah ketentuan yang disusun oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Relakan hati bermula dengan pemahaman bahawa hidup ini bukan tentang apa yang kita mahu, tetapi apa yang kita perlu untuk menjadi hamba yang lebih dekat kepada-Nya.

Kita yakin bahawa setiap kehilangan ada gantinya. Setiap kesakitan ada penyembuhnya. Yang paling penting ialah setiap ujian, ada nilainya di sisi Tuhan.

Di mana kita akan melatih hati kita dengan berkata: “Aku terima apa yang Allah SWT tentukan, walaupun aku tidak memahami sekarang. Aku percaya, Dia tahu apa yang aku tidak tahu.”

Inilah langkah pertama kita lakukan untuk mengeratkan perhubungan supaya sentiasa mendekati diri dengan Allah SWT.

E – ERATKAN PERHUBUNGAN DENGAN SENTIASA MENDEKATI ALLAH

Derita selalunya menjadikan manusia lebih mencari Tuhan.

Justeru, jangan biarkan derita menjauhkan kita daripada Allah SWT, tetapi jadikan ia peluang untuk mengeratkan hubungan.

Ketika hati kita sempit maka perbanyakkan solat sunat, solat hajat dan tahajud. Basahkan lidah kita dengan berzikir, beristighfar dan berselawat.

Ambillah peluang dengan meluahkan segalanya dalam doa kita sebagai peluang untuk mendapat perlindungan-Nya.

Reda hanya akan lahir apabila hati kita rapat dengan Yang Maha Pencipta. Semakin kuat hubungan kita dengan Allah SWT, semakin tenang jiwa kita menempuh badai ujian.

Apabila kita jujur dalam munajat, maka hati kita akan terasa dengan meluah sejujurnya dalam hati: “Aku mungkin tidak punya apa-apa lagi, tapi aku masih punya Tuhan.”

Itulah luahan jujur dalam hati kita kepada Allah SWT dengan maksud kita tidak mengeluh tetapi terus berdoa tanpa jemu supaya kita diberi ketenangan dan reda menerima penentuan-Nya.

D – DIAM DARIPADA MENGELUH DAN SENTIASA BERDOA TANPA JEMU

Mengeluh itu fitrah, tetapi jangan ia menjadi kebiasaan. Keluhan tidak menyelesaikan masalah, bahkan kadangkala menambahkan tekanan dan melemahkan semangat.

Diam bukan bermaksud membisu tanpa tindakan, tetapi membendung diri dari ucapan yang melemahkan iman.

Gantikan keluhan dengan doa yang ikhlas serta yakin bahawa Allah SWT mendengar dan tahu akan keperluan kita.

Zikir yang berterusan memuji kebesaran-Nya bahawa siapa kita jika kita tidak menyerah kepada-Nya yang penentu segala-galanya. Bersyukur atas apa yang masih ada dan segala nikmat yang diperolehi selama ini.

Doa bukan alat terakhir selepas semua usaha kita gagal. Namun, doa adalah senjata utama sebelum, semasa dan selepas berusaha.

Allah SWT mendengar rintihan yang paling dalam, walaupun kita tidak mengucap dengan lidah.

Teruskan berdoa, walaupun belum nampak perubahan. Yakinlah bahawa doa itu sedang mengubah hati kita, sebelum ia mengubah situasi yang kita hadapi.

Anggaplah setiap ujian kita bukan hukuman tetapi sebagai jalan keampunan dan kenaikan darjat.

A – ANGGAP UJIAN BUKAN HUKUMAN TETAPI JALAN KEAMPUNAN DAN KENAIKAN DARJAT

Ramai dalam kita menyangka apabila diuji, itu tanda Allah SWT murka. Hakikatnya, ujian adalah peluang keampunan, pembersihan dosa dan juga tanda cinta.

Sabda Rasulullah SAW: “Tiada seorang Muslim yang ditimpa sesuatu kesakitan atau kelelahan atau kebimbangan atau kesedihan atau gangguan, hatta duri yang mencucuknya, melainkan dihapuskan Allah sebahagian daripada dosa-dosanya kerana itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dengan menyemai dalam diri bahawa ujian bukan hukuman tetapi jalan keampunan dan kenaikan darjat, kita akan mula melihat derita sebagai tempat menyemai kesabaran dalam diri.

Ia juga sebagai ruang mendapatkan pahala yang besar dan jalan untuk memperhalusi akhlak serta membina kekuatan dalaman diri.

Ujian bukan beban, tetapi tangga kenaikan darjat di sisi Allah SWT, andainya kita menerima setiap ujian itu dengan sabar dan reda.

Kesimpulannya, reda bukan bermakna menyerah, tetapi percaya bahawa setiap derita ada hikmah.

Bila hati rela, jiwa tenang. Bila sabar dipilih, doa didahulukan dan kepada Allah SWT tempat sandaran kita. Dengan demikian, derita bukan lagi beban, tetapi jalan untuk lebih dekat dengan-Nya.

Letak dalam pemikiran kita bahawa derita akan berlalu, tetapi bekasnya akan kekal sama ada dalam bentuk luka atau kekuatan.

Pilihlah untuk menjadi insan yang mengukir kekuatan dari ujian. Ini kerana rahmat itu sering tersembunyi di sebalik kesakitan dan rahsia ketenangan itu ialah reda pada segala ketentuan Allah SWT. Inilah rahsia reda dalam derita.

Wallahu ‘alam Bissawab

Continue Reading

Previous: Menundukkan hawa nafsu menuju redha Alllah SWT

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.