
HUJAN ialah salah satu nikmat dan rahmat terbesar daripada Allah SWT yang diberikan kepada manusia dan seluruh makhluk di bumi.
Ia kelihatan seperti fenomena biasa, namun hakikatnya tersimpan pelbagai hikmah, kasih sayang, dan kekuasaan Allah SWT yang tidak ternilai.
Setiap titisan hujan membawa kehidupan, menghidupkan tanah yang mati, memberi rezeki kepada manusia dan haiwan, dan menjadi simbol betapa besar rahmat Allah SWT kepada seluruh alam.
Allah SWT menegaskan dalam al-Quran bahawa hujan adalah bukti kekuasaan-Nya sebagai Tuhan yang Maha Menghidupkan, Maha Penyayang dan Maha Memberi Rezeki.
Dalam Surah al-A’raf ayat 57, Allah berfirman:
“Dialah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya (hujan). Sehingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan ia ke negeri yang tandus, lalu Kami turunkan hujan dan Kami keluarkan dengannya berbagai jenis buah-buahan…” (Surah al-A’raf: 57)
Jelas daripada ayat ini bahawa hujan disebut sebagai rahmat secara tidak langsung. Tanpa hujan, bumi akan tandus, tumbuhan akan mati, dan kehidupan tidak akan dapat diteruskan.
Justeru, turunnya hujan bukan sahaja fenomena alam, tetapi salah satu tanda jelas kasih sayang Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya.
Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa hujan membawa keberkatan. Baginda sendiri menyambut hujan dengan penuh syukur. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim: “Hujan ini baru sahaja turun daripada Tuhanmu yang Maha Mulia.” (Riwayat Muslim)
HUJAN SEBAGAI LAMBANG RAHMAT DAN DOA MUSTAJAB
Selain menjadi sumber kehidupan, hujan juga membawa nilai rohani yang sangat besar dalam Islam. Ia bukan fenomena alam, tetapi waktu yang penuh keberkatan.
Sebagimana Rasulullah SAW mengajar bahawa turunnya hujan adalah salah satu masa doa mustajab.
Dalam hadis riwayat an-Nasa’i: “Berdoalah ketika hujan, kerana ia adalah waktu doa yang tidak tertolak.”
Ini menunjukkan bahawa ketika hujan turun, pintu langit terbuka luas untuk mengangkat doa hamba-hamba-Nya.
Pada saat itu, Allah SWT menurunkan rahmat bukan sahaja kepada bumi, tetapi juga kepada manusia melalui penerimaan doa.
Hujan juga menjadi tanda rahmat Allah SWT yang menghapuskan dosa dan menyucikan jiwa.
Rasulullah SAW sendiri pernah membiarkan hujan mengenai tubuh baginda. Dalam hadis riwayat Muslim: “Sesungguhnya ia (hujan) baru turun dari sisi Tuhanku.”
Dalam konteks masyarakat, hujan sering menjadi ujian yang membawa hikmah.
Kadang-kadang hujan diturunkan dalam bentuk badai atau banjir, tetapi di sebalik ujian tersebut tetap ada rahmat Allah SWT yang ingin mengingatkan manusia agar kembali kepada-Nya, merenungi kelemahan diri, dan bersyukur atas nikmat yang sering dilupakan.
Di samping itu, hujan mengajar manusia erti tawakkal dan kesyukuran.
Kita tidak dapat mengawal bila hujan turun dan bila ia berhenti. Kita hanya bergantung kepada ketetapan Allah SWT.
Apabila hujan turun, manusia bersyukur kerana ia menghidupkan bumi.
Apabila hujan tidak turun, manusia memohon kepada Allah SWT dengan penuh harapan. Ini menunjukkan bahawa hujan adalah penghubung antara manusia dan Tuhannya.
Setiap titisan hujan adalah tanda jelas kasih sayang Allah SWT kepada makhluk-Nya. Ia bukan sekadar fenomena cuaca, tetapi rahmat yang menghidupkan bumi, memberi rezeki, menyejukkan alam, dan membuka pintu doa yang mustajab.
Al-Quran dan hadis menjelaskan bahawa hujan adalah bentuk rahmat yang halus dan penuh hikmah.
Melalui hujan, Allah SWT menunjukkan kuasa-Nya menghidupkan sesuatu yang mati, menyuburkan tanah, mengawal keseimbangan ekologi, serta mengajar manusia untuk bersyukur.
Hujan juga menghubungkan manusia dengan Allah SWT melalui doa yang lebih mudah dimakbulkan.

Kisah Abu Qilabah
BANYAK hikmah yang dapat kita ambil iktibar, salah satunya dari kisah Abu Qilabah sahabat Nabi yang mengajarkan tentang erti bersyukur.
Nama lengkap beliau ialah ‘Abdullah bin Zaid al Jarmi dan beliau wafat di Negeri Syam pada tahun 104 Hijriah.
Kisahnya begini, suatu hari ada seseorang sedang bermusafir dari satu kota ke kota lain dengan menunggang kuda.
Setelah dia kehabisan bekal, dia melihat ada satu khemah di padang pasir yang luar itu.
Kemudian, dia memasuki dan melihat pemandangan yang memilukan di dalam khemah tersebut.
Orang yang berbaring inilah Abu Qilabah. Lalu, pemuda tersebut bertegur dengannya.
Pemuda: Saya musafir yang kebetulan lalu di sini dan memerlukan makanan dan minuman. Saya kehabisan bekalan.
Abu Qilabah: “Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah SWT yang menyempurnakan nikmatNya kepada saya.
Pemuda: Wahai tuan, apa yang membuat kamu bersyukur kepada Allah? Apa yang kamu syukuri, nikmat apa yang ada?
Abu Qilabah: “Saya boleh mengucapkan kalimah ini sahaja sudah menutupi semua kekurangan saya ini, sebuah nikmat yang tidak terhingga. Alhamdulillah atas semuanya.”
Abu Qilabah meminta tolong kepada pemuda tersebut untuk mencari anak lelakinya yang sudah tiga hari tidak pulang.
Sememangnya hanya beliau dan anaknya sahaja yang berada di padang pasir sebelum ni.
Kemudian, pemuda tersebut melihat ada jenazah manusia dikerumuni oleh singa.
Dia bingung bagaimana cara untuk mengatakan hal sebenar dan pemuda itu pun meminta Abu Qilabah menceritakan kisah Nabi Ayub.
Abu Qilabah mengetahui dan tersenyum lalu mengatakan: “Alhamdulillah, anak saya telah mendahului saya ke syurga”.
Tidak lama setelah itu, Abu Qilabah pun meninggal dunia.
Menurut agama, anak yang soleh itu seseorang yang menjaga ibadahnya kepada Allah dan berbakti kepada orang tuanya akan dikurniakan ganjaran syurga.
Hanzalah Azman