
PETALING JAYA: Bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli bersama bekas Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengambil alih Parti Bersama Malaysia sebagai wadah baharu perjuangan politik mereka.
Penyerahan parti itu oleh pengasas yang juga presidennya, Tan Gim Theam dilakukan pada Majlis Pengumuman Hala Tuju Politik Rafizi dan Nik Nazmi, di sini hari ini.
Parti Bersama Malaysia ditubuhkan pada 2 Disember 2016 dan aktif di Pulau Pinang.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa yang masih merupakan ahli PKR, masing-masing gagal mempertahankan jawatan selepas tewas pada pemilihan parti 23 Mei tahun lepas.
Susulan itu, Rafizi yang ketika itu Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengumumkan peletakan jawatan masing-masing berkuat kuasa 17 Jun dan 4 Julai tahun lepas. – Bernama