
Foto Ihsan Facebook Datuk Seri Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, 2025.
Rafizi menerusi satu kenyataan berkata beliau telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Peletakan jawatan ini akan berkuat kuasa dari 17 Jun 2025. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya.
Rafizi berkata beliau telah menjalankan amanah terakhirnya sebagai Menteri Ekonomi dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan bakal dibentangkan pada sidang Parlimen seterusnya.
Menurutnya, RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Rafizi berkata beliau menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.
Katanya, kekalahan dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.
“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini dan saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan,” katanya.– BERNAMA