KUCHING: Sebanyak 15 kes rabies dalam kalangan manusia termasuk 13 kes kematian telah dilaporkan di Sarawak dari 1 Januari hingga 7 Ogos tahun ini.
Terdapat peningkatan kes yang ketara berbanding hanya lapan kes bagi tempoh sama pada tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak tujuh kes atau 87.50 peratus.
Kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 70 kes dengan 63 kematian.
Rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies.
Virus ini terdapat dalam air liur haiwan yang dijangkiti dan manusia terdedah kepada jangkitan rabies melalui gigitan atau kontak langsung dengan air liur haiwan yang dijangkiti, sama ada melalui luka atau lapisan mukosa tubuh.
Ini termasuklah kesan cakar oleh kucing peliharaan atau kucing liar.
Jangkitan rabies dalam kalangan manusia boleh menyebabkan kematian sekiranya jangkitan tersebut merebak ke otak.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck berkata, daripada 15 kes yang dilaporkan tahun ini, lima kes adalah dari Bahagian Sibu, empat kes adalah dari Bahagian Serian, tiga kes dari Bahagian Kuching, dua kes dari Bahagian Bintulu dan satu kes dari Bahagian Samarahan.
“11 kes yang dilaporkan pada tahun ini mempunyai sejarah digigit anjing, dua kes mempunyai sejarah digigit atau dicakar kucing, manakala dua kes tidak mempunyai sejarah pendedahan yang jelas.
“Daripada 13 kes yang mempunyai sejarah digigit anjing dan dicakar kucing, sebanyak lapan kes atau 61.54 peratus yang tidak mendapatkan rawatan dari mana- mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar oleh haiwan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagi meningkatkan akses kepada rawatan dan vaksin anti-rabies yang diperlukan oleh penduduk yang terkesan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah menubuhkan Post-Bite Clinic di 64 buah kemudahan kesihatan awam dan 29 buah fasiliti swasta di seluruh negeri Sarawak.
“Terdapat 11 hospital turut memberikan perkhidmatan suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) kepada kes-kes berisiko tinggi,” katanya lagi.
Sehubungan itu, susulan peningkatan kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak, orang awam adalah diingatkan agar sentiasa mengambil langkah- langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies.
Oleh Nur Ain Otsman