KUCHING: Rabies meragut satu lagi nyawa di Sarawak dengan kematian terkini membabitkan seorang lelaki berusia 50 tahun dari Kampung Bumbok di Jalan Batu Kitang pada 10 Mei lalu di Hospital Umum Sarawak.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng yang mengesahkan perkara itu berkata kes kematian tersebut sekali gus menjadikan kes kematian melibatkan rabies meningkat kepada 12 orang.
Sehubungan itu, Wee menegaskan bahawa pemilik anjing perlu memastikan haiwan peliharaan mereka tidak berkeliaran di luar bagi membasmi penyakit yang boleh membawa maut tersebut.
”Kami faham bahawa ramai yang amat menyayangi haiwan peliharaan mereka namun kita perlu menjelaskan bahawa operasi bersama yang dijalankan antara pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah untuk menangkap anjing liar yang berkeliaran dan tidak mempunyai pemilik di sekitar kawasan bandar Kuching.
”(Namun begitu), ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan mesej menerusi media sosial yang menuduh PBT menceroboh kawasan perumahan untuk menangkap anjing. Kami telah membacanya dan ia adalah tidak benar,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Bengkel Penambahbaikan Pengurusan Sisa Pepejal yang dirasmikan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (utiliti), Datuk Abdul Rahman Junaidi di salah sebuah hotel, di sini, hari ini.
Tegas Wee lagi, orang ramai diingatkan untuk tidak menyebarkan berita palsu menerusi media sosial berkaitan operasi semasa yang dijalankan oleh PBT bagi memastikan ia tidak memberi kesan buruk kepada pihak yang melaksanakan operasi.
”Ia adalah sangat tidak wajar untuk menyebarkan berita palsu yang akan memberi kesan kepada pihak yang melakukan operasi di mana ia juga akan menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat.
”Kami (PBT) hanya melakukan apa yang perlu dan operasi ini adalah untuk melindungi dan menyelamatkan nyawa. Jangan biarkan berita palsu yang disebarkan memberi impak buruk kepada orang lain,” tegasnya.