
KUCHING: Rabies kekal ancaman kesihatan awam di Sarawak apabila dua lagi kematian direkodkan tahun ini, menjadikan jumlah kumulatif sejak 2017 sebanyak 78 daripada 85 kes, sekali gus menuntut tindakan segera daripada semua pihak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata di sebalik statistik itu terdapat keluarga yang berduka dan komuniti yang terjejas, dengan itu pencegahan tidak boleh dipandang ringan.

“Rabies 100 peratus boleh dicegah melalui vaksinasi. Tema Hari Rabies Sedunia tahun ini, ‘Bertindak Sekarang: Anda, Saya, Komuniti’ adalah gesaan bertindak mengingatkan bahawa setiap daripada kita ada peranan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Rabies Sedunia 2025 di Dewan Masyarakat MBKS, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) Datu Dr Adrian Susin Ambud menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam meneruskan kempen vaksinasi percuma anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DBSS) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, program vaksinasi yang dijalankan setiap bulan itu memastikan tiada alasan jarak atau kos untuk pemilik haiwan mendapatkan suntikan pencegahan bagi anjing dan kucing mereka.
Ketika ditemui media selepas itu, Dr Sim menekankan bahawa vaksinasi tidak boleh dilakukan sekali sahaja sebaliknya perlu diulang setiap tahun.
Katanya, walaupun kempen awal pada tahun pertama mencatat hampir 40,000 anjing divaksin, jumlah itu merosot pada tahun-tahun berikutnya.
Beliau turut menegaskan keperluan melindungi barisan hadapan yang berisiko tinggi melalui vaksinasi manusia memandangkan mereka berdepan terus dengan anjing dan kucing dalam operasi harian.
Dr Adrian dalam pada itu menambah, kira-kira separuh daripada risiko rabies datang daripada anjing peliharaan, manakala penularan kepada kucing juga semakin meningkat dan boleh memberi kesan kepada manusia.
“Kita mahu libatkan komuniti bersama majlis tempatan untuk menilai keperluan langkah tambahan, termasuk pendaftaran kucing sekiranya kes positif terus meningkat,” katanya.
Kedua-dua mereka sependapat bahawa rabies hanya dapat dihapuskan melalui tindakan bersama semua pihak, sejajar dengan matlamat global mencapai sifar kematian manusia akibat rabies yang disebarkan oleh anjing menjelang 2030.
Oleh Adele Rissa